Niat murni bertukar tragedi

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 6, 2016 16:37 MYT
Keadaan lori yang membawa muatan ikan yang hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 10.5, Jalan Taiping-Pantai Remis pada awal pagi Sabtu. - Astro AWANI
Siapa sangka tindakan murni seorang lelaki membantu mangsa kemalangan membawa padah kepada dirinya apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 10.5, Jalan Taiping-Pantai Remis di sini pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 1.35 pagi itu, Muhd Azizi Osman,19, dipercayai sedang cuba membantu mengutip ikan-ikan yang bertaburan di atas jalan akibat sebuah lori terbabas.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asistan Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, terdahulu itu pada sekitar 12.50 pagi, sebuah lori yang membawa muatan ikan telah hilang kawalan di lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja lori berkenaan terbabas, beberapa penduduk kampung bermotosikal yang lalu di situ telah membantu pemandu lori mengutip ikan-ikan itu.
"Selepas beberapa ketika, sebuah kenderaan jenis Volkswagen dipandu seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang menghala ke Taiping, tidak menyedari kemalangan di situ dan merempuh kesemua motosikal yang berada di bahu kiri jalan.
"Akibat impak rempuhan itu, mangsa yang ketika itu membonceng motosikal rakannya maut di tempat kejadian berikutan cedera parah di bahagian kepala," katanya kepada Astro AWANI.
Jelasnya, kenderaan tersebut turut mengakibatkan kecederaan ringan kepada dua anggota polis yang sedang membantu mengawal kesesakan lalulintas akibat kejadian lori terbabas itu.
Harrith Kam berkata kedua-dua anggota polis Balai Polis Padang Gajah itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Taiping manakala mangsa yang meninggal dunia ditempat kejadian telah dibawa ke Jabatan Forensik bagi bedah siasat.
"Siasatan awal mendapati keadaan jalan selekoh dan gelap dan anggota yang mengawal lalulintas menyalakan lampu 'beacon' semasa kejadian dan memakai 'vest'.
"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pegawai TLDM berpangkat leftenan itu telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
#Asistan Komisioner Harrith Kam Abdullah #lori ikan #maut #terbabas
;