Niat cari rezeki, tidak endah gelaran 'nasi lemak janda'

Sinar Harian
Februari 25, 2023 09:00 MYT
Mya mula berniaga nasi lemak di tepi jalan sejak awal tahun lalu. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pengusaha nasi lemak Mamamia akui kurang selesa dengan gelaran nasi lemak janda yang diberikan netizen selepas kisahnya tular di media sosial baru-baru ini.
Ibu tunggal, Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd Hamzi, 30, yang mesra dipanggil Mya berkata, gelaran tersebut telah mengundang pandangan sinis dan persepsi negatif dalam masyarakat.
Bagaimanapun Mya berkata, pandangan serong tersebut tidak diendahkan dan diambil serius kerana tahu niat sebenarnya berniaga untuk mencari rezeki.
"Nasi lemak saya ada nama Mamamia, tapi disebabkan orang dah cakap macam itu (nasi lemak janda), kita tak boleh nak tutup mulut orang.
"Saya teruk dikecam, ada yang ingat saya nak rampas suami orang tapi saya selalu cakap kepada mereka, jangan risau kerana saya bukan kaki penyondol," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, ada kala beliau terguris apabila statusnya dipandang rendah, namun cuba berfikiran positif dengan menganggapnya sebagai sebahagian daripada kaedah pengiklanan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, beliau mula berniaga berhampiran rumah di Sentul pada awal tahun lalu bagi menambah pendapatan.
"Mulanya saya hanya ambil tempahan dari rumah tapi disebabkan hadapi masalah ada yang buat pembatalan lewat selain proses COD (tunai bayar waktu terima) yang agak leceh jadi saya ambil keputusan meniaga di tepi jalan.
"Sambutan yang diterima menggalakkan, mulanya hanya 200 bungkus kini tempahan boleh mencecah hingga 1,000 bungkus sehari.
"Patutnya tempahan lebih tapi ada antaranya terpaksa ditolak kerana tidak cukup kakitangan," katanya.
Kongsi Mya, nasi lemak Mamamia diusahakan bersama keluarga yang mana sambalnya dimasak sendiri oleh ibunya menggunakan resipi orang lama.
"Biasanya kami masak sekitar jam 4 pagi kemudian mula berniaga sekitar jam 7.30 pagi hingga habis.
"Saya mulanya berniaga ditemani ayah dan kini dibantu juga dengan beberapa ahli keluarga yang lain.
"Untuk jangka masa panjang, ada juga perancangan untuk buka kedai kerana ada permintaan. Kini sedang kenal pasti beberapa lokasi berpotensi, namun bukan dalam masa terdekat kerana masih berusaha ke arah itu," katanya.
Tambah Mya, beliau lebih cenderung untuk berniaga daripada bekerja makan gaji kerana minat susulan mempunyai latar belakang keluarga yang turut menjalankan perniagaan makanan. -Sinar Harian
#nasi lemak Mamamia #Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd Hamzi #nasi lemak janda #rampas suami orang
;