NHCCE 2023: Pemangkin tambah baik pembangunan modal insan
Madiha Abdullah
November 1, 2023 20:30 MYT
November 1, 2023 20:30 MYT
KUALA LUMPUR: Organisasi dan pengamal sumber manusia (HR) perlu bersedia dengan perubahan permintaan di tempat kerja moden.
Bagi penceramah motivasi, Ghanim Al Muftah, beliau melihat HRD Corp menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023, telah memainkan peranan sebagai pemangkin untuk menambah baik landskap pembangunan modal insan, sekali gus memacu aspirasi negara maju.
"Saya sentiasa melihat diri saya sebagai pemikir ke hadapan dan NHCCE 2023 adalah pujian yang sempurna untuk menangani peluang kepimpinan dan kerjaya masa depan saya.
"Tanpa modal insan, negara tidak dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Tenaga kerja perlu bersedia untuk pekerjaan berkemahiran tinggi pada masa hadapan, untuk bersaing di peringkat global," katanya yang merupakan salah seorang speaker dalam NHCCE kali ini.
Katanya lagi, aspek latihan dan pembangunan kemahiran tenaga kerja harus diberi tumpuan kerana kehilangan kumpulan tenaga mahir akan menyebabkan ekosistem pembangunan modal insan sesebuah negara ketinggalan.
"Saya melihat latihan kerja, pendidikan berterusan dan pemimpin mahir, sebagai keutamaan masa depan," tambahnya.
Selain Ghanim, NHCCE 2023 menampilkan barisan speaker dalam kalangan pemikir modal insan terkemuka dunia, pengamal sumber manusia dan pakar seperti Dave Ulrich, Eric Termuende, dan Dr Justin Cohen.
NHCCE 2023 berlangsung selama dua hari bermula Isnin, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Ia menerima penyertaan lebih 3,500 delegasi serta 400 reruai pempamer dengan kehadiran lebih 7,000 pengunjung.