NHCCE 2023 bakal jadi himpunan terbesar pengamal sumber manusia Asia Tenggara

Madiha Abdullah
September 12, 2023 11:00 MYT
Majlis pra pelancaran NHCCE 2023 disempurnakan Sivakumar (tengah) di MITEC, Kuala Lumpur, semalam. - Foto hrdcorp
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mengumumkan edisi kedua National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE), yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Oktober depan.
Dengan tema 'Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan', edisi kali ini merupakan lanjutan edisi 2022 yang mendapat sambutan menggalakkan.
NHCCE 2023 disifatkan bakal menjadi persidangan dan perhimpunan pengamal bidang modal insan dan sumber manusia (HR) terbesar di Asia Tenggara.
Majlis pra pelancaran NHCCE 2023 disempurnakan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar semalam.
"Ini adalah spin-off dari tahun lepas di mana kami melakukannya dengan sangat baik. Kami mempunyai 2,500 peserta untuk persidangan itu dan 200 peserta pameran.
"Untuk tahun ini, ia akan menjadi dua kali ganda. Kami menjangkakan 3,500 peserta dan 400 peserta pameran, dengan 10,000 pengunjung pameran.
"Tahun ini, kami membawa ramai penceramah antarabangsa dan ia akan menjadi yang terbesar di Asia Tenggara," kata Ketua Pegawai Kewangan HRD Corp yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja NHCCE 2023, Mohamad Farizul Yahaya.
"Kami sedang merancang sesuatu yang jauh lebih besar. Jauh lebih dinamik daripada apa yang kami ada tahun lepas.
"Jadi, untuk NHCCE, kami sasar 400 peserta pameran, bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari luar negara.
"Dan kemudian kami cuba melakukan sesuatu yang berbeza di mana kami mahu semua pempamer kami menawarkan sesuatu yang istimewa yang hanya tersedia pada masa itu.
"Jadi, jika anda sedang mencari penyelesaian modal insan, teknologi pembelajaran yang terkini dari segi pembelajaran sepanjang hayat, latihan modal insan dan banyak lagi, anda akan mendapatkannya di NHCCE. Dan tawaran istimewa itu terhad dalam tempoh dua hari," katanya.
Pendaftaran masih dibuka dan sesiapa yang berminat untuk hadir sebagai perwakilan atau menempah reruai atau menjadi penaja, boleh lawati www.hrdcop.gov.my/nhcce2023.
"Sudah tentu, untuk menjadi peserta, ada bayaran. Tetapi jika anda ingin datang, hanya untuk melihat pameran, kemasukan adalah percuma," kata Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Mohammed Amin.
NHCCE 2023 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), akan menampilkan lebih 30 tokoh dan pakar.
Antaranya termasuk Profesor Perniagaan di Ross Cchool of Business, Universiti Michigan, Dave Ulrich; Pengasas dan Bekas Presiden Northwest London Speakers Club, Frank Furness; Pengerusi The Learning And Performance Institute, Dr Donald H Taylor; serta pemimpin industri tempatan seperti atlet MMA wanita pertama Malaysia dan Pengarah Urusan School Of Ultimate Learning, Ann Osman, dan Ketua Malaysia UST Global (M) Sdn Bhd, Amar Chhajer.
Para penceramah akan mengendalikan perbincangan merangkumi lima topik iaitu membabitkan Teknologi dan Inovasi, Kepimpinan dan Pertumbuhan, Motivasi dan Kesejahteraan, Pembelajaran dan Pembangunan, dan Tenaga Kerja Dinamik dan Tempat Kerja Masa Depan.
Ia diharap akan membuka jalan kepada wacana baharu dalam pembangunan modal insan, memperkasakan pengamal HR untuk mengambil peranan yang lebih strategik dalam organisasi masing-masing.
#sumber manusia #NHCCE 2023 #HRD Corp #MITEC
;