NHCCE 2022: Saji pengisian menarik buat pengamal sumber manusia, pengunjung
Ehsan A Marisah
November 28, 2022 13:11 MYT
November 28, 2022 13:11 MYT
KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2022 yang akan berlangsung pada 29 dan 30 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini menyajikan pelbagai pengisian menarik kepada para pengamal sumber manusia dan pengunjung.
Ketua Pegawai Operasi Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Ariff Farhan Doss berkata, persidangan dan pameran tersebut juga akan membincangkan evolusi dalam pembangunan sumber manusia serta hala tuju negara dalam pembangunan teknologi di tempat kerja.
“Setakat ini, lebih 2,300 peserta delegasi yang telah mendaftar dan lebih 30 pakar industri tempatan dan antarabangsa akan berkongsi pengetahuan dalam bidang masing-masing.
“Perkara yang akan dirungkaikan dalam persidangan ini adalah bertemakan ‘HR 5.0: The Next Evolution in Human Resource Development’ (Evolusi dalam Pembangunan Sumber Manusia), iaitu akan berbincang cara memanusiawikan teknologi supaya teknologi tidak menggantikan manusia di tempat kerja.
“Ini amat penting untuk memastikan negara tidak ketinggalan daripada arus perdana pembangunan teknologi dalam tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma HRD Corp di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ariff menambah, pihaknya turut menampilkan kira-kira 300 pempamer daripada pelbagai industri dan agensi dengan jangkaan lebih 5,000 pelawat.
“Antara lain, pameran kerjaya oleh HRD Corp Placement Centre (HPC) dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan temu bual terbuka oleh beberapa majikan terkemuka di Malaysia.
“Terdapat juga Career Coach dengan pengamal dan pakar untuk membantu pencari kerja dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian mengikut profil mereka.
“Ini termasuk program dalam produk HRD Corp turut akan diperkenalkan seperti e-LATiH yang mana 600,000 rakyat Malaysia telah mendaftar untuk mengikuti kursus dalam talian, serta banyak lagi kursus akan ditawarkan pada 2023,” katanya.
Sementara itu, katanya, pihaknya turut menampilkan sesi insights melibatkan perkongsian tentang program, skim dan inisiatif HRD Corp termasuk kaunter bertemu pelanggan untuk membantu majikan dan penyedia latihan berdaftar.
“Selain itu, program Pocket Talk yang akan mengupas topik Evolusi Pembangunan Sumber Manusia oleh Penceramah Selebriti seperti Fahrin Ahmad, Atilia Harun dan Ally Iskandar,” ujarnya.
Sebelum ini, acara tahunan HRD Corp diadakan sejak 2001 itu dikenali sebagai HRDF Conference & Exhibition tidak dapat diadakan pada 2020 dan 2021 ekoran COVID-19.