NGO sumbang 800 PPE buat petugas barisan hadapan di Sabah
Astro Awani
Oktober 28, 2020 15:40 MYT
Oktober 28, 2020 15:40 MYT
SHAH ALAM: Prihatin dengan keperluan petugas barisan hadapan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Briged Negaraku menyumbang 800 set kelengkapan pelindungan diri (PPE) kepada petugas di Sabah.
Menariknya, PPE itu dihasilkan sendiri sukarelawan yang terdiri daripada ibu bapa, guru, pelajar sekolah malah banduan dari Penjara Jelebu di Negeri Sembilan.
Penolong Setiusaha Briged Negaraku, Hasleenda Nazeri berkata, pakaian perubatan itu akan dihantar kepada dua kawasan, 500 set ke Lahad Datu dan 300 set ke Kota Kinabalu.
"Kita tak boleh membantu dari segi perubatan, kita hanya boleh berikan tenaga dan bantu mana NGO yang buat face shield, PPE sebab bila kita bantu, mereka dapat rasa yang mereka tidak berseorangan.
"Mereka rasa rakyat Malaysia sentiasa membantu petugas barisan hadapan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan itu di sini pada Rabu.
Tambahnya, ini kali pertama Briged Negaraku menyalurkan sumbangan PPE ke Sabah kerana sebelum ini mereka banyak membantu petugas barisan hadapan di Semenanjung Malaysia.
"Kita bukan hanya melibatkan NGO, kita juga melibatkan ibu bapa. Boleh kata mereka juga libatkan anak mereka.
"Kerja sukarelawan ini sebenarnya tak ramai orang boleh buat sebab ia melibatkan masa. Tapi apabila kita buat, kita dapat menjiwai dan rasa, oh, aku dah bantu negara kita sendiri," ujarnya.
Tambahnya, usaha sebegitu juga sebenarnya dapat menzahirkan rasa cinta kepada negara.
#NGO
#PPE
#Sabah
#Kota Kinabalu
#Lahad Datu
#sekolah
#pelajar
#kerajaan
#guru
#rakyat
#penjara
#rakyat Malaysia
#perubatan
#sumbangan