NGO sumbang 500 pakaian dan 225 PPE di pusat sehenti urus mayat

Astro Awani
Julai 22, 2021 21:38 MYT
Atas tanggungjawab sosial, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dengan kerjasama HakkaClo menyumbangkan lebih 500 baju persalinan kepada rumah petugas di Pusat Sehenti Urus Mayat Kuala Lumpur (PUSUM WPKL).
KUALA LUMPUR: Lonjakan kes jangkitan COVID-19 sejak lebih dua bulan lalu menyebabkan petugas barisan hadapan kekurangan barangan keperluan asas.
Bukan sahaja pakaian perlindungan diri (PPE) yang menjadi keperluan asas sekarang, bahkan baju persalinan juga menjadi satu keperluan.
Atas tanggungjawab sosial, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dengan kerjasama HakkaClo menyumbangkan lebih 500 baju persalinan kepada rumah petugas di Pusat Sehenti Urus Mayat Kuala Lumpur (PUSUM WPKL).
Naib Presiden Persatuan berkenaan, Hazreen Mubarak berkata, selain sumbangan baju persalinan, mereka turut menyerahkan 225 helai PPE untuk kegunaan lebih 100 kakitangan.
Sumbangan terbabit sebagai tanda menghargai pengorbanan pasukan barisan hadapan yang sanggup menggadai nyawa memastikan penularan pandemik dapat dikawal.
“Saya harap bukan terhenti di sinilah bukan pada SAM sahaja, kita juga berharap dengan inisiatif ini dapat menggerakkan mana-mana NGO.
“Untuk sama-sama tampil meringankan beban, kita semua tahu dengan keadaan kes yang makin meningkat ini barang keperluan asas itu sendiri kurang dalam setiap hospital atau mana-mana PPV sekalipun.
“Justeru marilah kita sama-sama bantu meringankan beban dia orang bantu mana yang patut dan sama-sama kita perangi COVID-19 supaya tidak merebak,” jelasnya.
Sementara itu, jelas pemilik HakkaClo, Noor Sollihin Mohamed, program tanggungjawab sosial syarikatnya yang juga pengilang pakaian kerap melakukan sumbangan pakaian terutamanya semasa bencana alam.
Tambahnya, sumbangan itu juga selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menggalakkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menderma PPE bagi kegunaan barisan hadapan.
#NGO #PPV #petugas barisan hadapan #pandemik #jangkitan #Kementerian Kesihatan #KKM #COVID-19
;