NGO seluruh negara diseru siapkan peralatan hadapi pascabanjir

Farhan Hakimi
Disember 3, 2024 11:20 MYT
Kira-kira 30 ahli qariah Masjid Pasir Simpul, Hulu Terengganu berganding bahu membanting tulang membersihkan pelbagai peralatan masjid kampung itu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara diseru untuk mempersiapkan segala peralatan yang diperlukan untuk proses pembersihan sebagai persediaan mendepani situasi pascabanjir.
Menurut Pengerusi Persatuan Prihatin Apam Putra, Kairul Azri Mohd Zain, ini kerana banyak infrastruktur asas selain rumah, seperti tempat ibadat termasuk masjid dan surau, terjejas teruk susulan banjir yang melanda.
"Jadi ini peranan dan tugas selain agensi dan pihak kerajaan, jadi seruan dibuat untuk membantu NGO tempatan bagi menyelaras (bantuan) dan memberi tumpuan kepada tempat-tempat yang terjejas di peringkat awal.
"Insya-Allah, untuk NGO tempatan, apabila wujudnya penyelerasan, tugas-tugas mereka lebih berkesan dan tertumpu kepada tempat-tempat yang memerlukan terlebih dahulu," katanya dalam program AWANI Pagi pada Selasa.
Kairul turut berkongsi usaha wakil NGO seperti beliau dalam mendepani situasi banjir di Rantau Panjang, Kelantan, iaitu menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan bagi memudahcara urusan seperti pengagihan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Selain pengagihan bantuan, beliau berkata, koordinasi juga diwujudkan bersama NGO lain untuk menyediakan kenderaan seperti bot.
Ini jelasnya bagi memudahkan akses ke laluan yang sukar dilalui akibat jalan putus dan infrastruktur jalanraya lain yang ranap dibadai banjir.
#banjir2024 #monsun timur laut #Bah Kuning #pascabanjir
;