NGO pertahan kelulusan EIA bagi projek PSI

Bernama
April 27, 2023 18:34 MYT
Menurut NUSA, para nelayan dapat menambah pendapatan harian mereka dengan bot yang lebih berkuasa tinggi dan lebih besar. -Twitter Bernama
GEORGE TOWN: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pulau Pinang hari ini mempertahankan kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diberikan kepada projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).
Setiausaha Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang Fajinah Jaafar berkata dengan adanya kelulusan EIA, golongan nelayan tulen di sini tidak sabar melihat projek PSI dimulakan untuk menikmati lebih banyak limpahan manfaat skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
"Sudah bertahun-tahun kami menunggu projek ini berjalan dan walaupun ditempuhi pelbagai dugaan, kami akhirnya dapat tidur dengan lena apabila mendengar pengumuman Ketua Menteri semalam.
"Di sini, ingin kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar dan pihak kerajaan negeri yang serius dalam mempertimbangkan dan mementingkan kebajikan nelayan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa EIA bagi projek PSI telah mendapat kelulusan bersyarat dari JAS Putrajaya dalam surat bertarikh 11 April.
Menurut Chow, kelulusan EIA itu merupakan kelulusan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan SIMP dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.
Sementara itu, Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (NUSA) turut menyokong kelulusan EIA PSI kerana melalui projek ini, nelayan setempat telah mendapat manfaat seperti bot percuma dan kursus jurumudi bagi membolehkan nelayan-nelayan ini menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh dan laut dalam.
Menurut NUSA para nelayan dapat menambah pendapatan harian mereka dengan bot yang lebih berkuasa tinggi dan lebih besar.
"Keselamatan para nelayan ini juga lebih terjamin dan mengurangkan risiko ketika keluar ke laut jika menggunakan bot yang baharu.
"Projek PSI ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan yang berskala besar untuk penduduk setempat dan penduduk sekitar," katanya dalam kenyataan.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar #SIMP #Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas #Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling
;