NGO perlu terus aktif pupuk perpaduan, pelihara kebajikan komuniti - Ramanan

Bernama
Januari 28, 2024 18:33 MYT
Ramanan berkata program sebegitu mampu menerapkan keharmonian serta sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Badan bukan kerajaan (NGO) perlu terus memainkan peranan secara aktif untuk bersama-sama memupuk perpaduan dan memelihara kebajikan dalam kalangan komuniti menerusi program-program bermanfaat.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata program sebegitu mampu menerapkan keharmonian serta sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat.
"Sebagai warga Malaysia Madani marilah kita sama-sama meraikan keharmonian antara kaum yang telah dipupuk sekian lama. Inilah semangat perpaduan dan hormat-menghormati yang perlu dipertahankan," katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Hadiah dan Penyampaian Ang Pau anjuran Persatuan Kochow Kampung Baru Subang di sini, hari ini.
Seramai 150 warga emas berketurunan Cina diraikan dan disantuni dalam program berkenaan yang dianjurkan sebagai tanda penghormatan dan ingatan kepada golongan warga emas bersempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Beliau yang turut memberikan sumbangan kewangan kepada persatuan berkenaan berharap seluruh masyarakat Cina yang akan menyambut ketibaan tahun naga kali ini dipenuhi dengan semangat kekuatan, kesihatan serta membawa nasib yang baik.
"Diharapkan sumbangan ini dapat menceriakan lagi Sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan warga emas terlibat. Saya juga berharap di tahun naga ini semua yang ada di sini dapat kebahagiaan di dalam keluarga," katanya.
-- BERNAMA
#NGO #perpaduan #r ramanan #memelihara kebajikan #komuniti
;