NGO perlu elak beli barangan bantuan di kawasan banjir
Bernama
Januari 7, 2021 21:20 MYT
Januari 7, 2021 21:20 MYT
KAJANG: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir disaran membeli barangan keperluan di luar daripada kawasan terjejas bagi mengelak berlaku kekurangan bekalan makanan dan barangan keperluan harian di kawasan terbabit.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembelian barangan keperluan secara pukal di kawasan terjejas juga dikhuatiri memberi persepsi negatif dan situasi panik walaupun bekalan makanan mencukupi.
"Misalnya, situasi kehabisan minyak masak di kawasan terjejas, apabila kita siasat bukan kerana tidak mencukupi, tetapi kerana dibeli dalam kuantiti banyak oleh pihak yang memberi bantuan.
"Kita menghargai dan mengalu-alukan sumbangan dan harap ia diteruskan, namun kita berharap agar bekalan tidak dibeli di kawasan berhampiran, misalnya di kedai runcit di pekan kecil," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Segar@Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid dan Naib Presiden (Pemasaran) Petronas Ahmad Adly Alias.
Sementara itu, Ahmad Adly berkata Segar@Mesra yang mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bertujuan membantu pengeluar, petani dan penternak untuk meningkatkan hasil pendapatan dengan memasarkan secara terus di Kedai Mesra Petronas.
Katanya program itu dilaksanakan di empat stesen Petronas sebelum diperluaskan ke 750 stesennya di seluruh negara.
Ahmad Adly berkata projek perintis dimulakan di stesen Unikeb 2 (Seksyen 4 Bandar Baru Bangi), Persiaran Jaya (Sungai Ramal Dalam), Prima Saujana 2 (Kajang) dan Pelangi (Semenyih).
"Jika sambutan menggalakkan diterima daripada pengguna, kami akan memperluaskan program ke lebih banyak Kedai Mesra. Program ini diharap menjadi situasi menang-menang untuk penternak, petani, nelayan dan pengguna," katanya.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi
#mangsa banjir
#banjir
#NGO
#bantuan
#elak beli barang
#kawasan banjir
#KPDNHEP