NGO perlu bekerjasama elak pembaziran makanan ketika Ramadan
Bernama
Mei 7, 2019 06:52 MYT
Mei 7, 2019 06:52 MYT
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal tidak seharusnya menumpukan kegiatan pemurah mereka di lokasi yang sama pada bulan suci Ramadan bagi mengelakkan pertindahan usaha dan pembaziran sumber, kata ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Nadzim bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail agar NGO tidak menumpukan kepada satu tempat sahaja ketika melakukan aktiviti kebajikan ketika Ramadan bagi mengelakkan pembaziran makanan.
Beliau mencadangkan agar NGO menyelaraskan aktiviti dalam bulan Ramadan agar bantuan mereka dapat sampai kepada golongan sasar masing-masing secara lebih berkesan tanpa sebarang pembaziran.
"Saya pernah melihat kadangkala makanan yang dihantar kepada golongan gelandangan terlalu banyak sehingga banyak yang tersisa, ini bermakna mereka (NGO) perlu terlebih dahulu membuat perancangan.
"Itulah sebabnya kenapa NGO perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi menentukan tiada makanan yang dibazirkan.
"Lebih-lebih lagi golongan gelandangan atau orang yang memerlukan juga akan mendapat manfaat sekiranya ada rangkaian pengedaran yang lebih luas. Sekiranya tidak ia akan berulang dan perkara yang sama tidak dapat ditangani," katanya kepada Bernama.
Nadzim juga menasihati NGO supaya menjalankan kajian terlebih dahulu bagi mengenal pasti permintaan terhadap makanan serta keperluan lain di kawasan tertentu.
"Sejak akhir-akhir ini saya melihat terlalu banyak makanan diagihkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana NGO berkenaan hanya tertumpu ke kawasan berhampiran atau yang lebih dikenali dan berlaku lebihan makanan di sana yang akhirnya akan dibuang begitu sahaja," katanya.
Sementara itu timbalan presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman yang turut bersetuju dengan Dr Wan Azizah berkata NGO berkenaan seharusnya mempunyai badan penyelaras tersendiri.
"Dengan adanya badan penyelaras, NGO akan hanya pergi ke tempat yang belum menerima pertolongan. Dengan cara itu, makanan akan dapat diagihkan ke tempat lain bagi mengelakkan pembaziran," katanya.
-- BERNAMA
#Fomca
#gelandangan
#Islam
#makanan
#Mohd Yusof Abdul Rahman
#NGO
#pembaziran
#PPIM
#Ramadan
#Wan Azizah Wan Ismail