NGO, parti politik mahu Mahinda Rajapakse tinggalkan ICAPP

Wan Syamsul Amly
September 2, 2016 15:38 MYT
Protes kehadiran Mahinda Rajapakse diadakan sebagai simbolik rasa tidak puas hati terhadap bekas pemimpin itu. - Foto AFP
Bekas Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse diminta meninggalkan Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP) ke-4 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia bagi menjamin keselamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain bagi kepentingan semua pihak.
"MIC, DAP, PKR dan NGO lain membuat bantahan Menyuraikan Demostrasi terhadap bekas Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa. Saya mewakili UMNO dan ICAPP membuat secara rundingan aman di PWTC bagi meminta Mahinda Rajapakse tinggalkan persidangan.
"Mahindra Rajapakse seorang yang sangat kontroversi. Telah terkumpul 76 laporan polis terhadapnya dan bantahan dari seluruh dunia semakin meningkat. Setelah berbincang Mahinda Rajapakse bersetuju untuk meninggalkan sidang ICAPP," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Protes kehadiran Mahinda Rajapakse diadakan sebagai simbolik rasa tidak puas hati terhadap bekas pemimpin itu.
Ia juga luahan emosi masyarakat mengenai tindakan kejam dan pembunuhan beramai-ramai etnik Tamil di Sri Lanka.
Bantahan itu juga memaksa pihak berkuasa mengerahkan pasukan polis termasuk unit anti rusuhan ke PWTC bagi menghalang penunjuk perasaan menghampiri tempat sidang itu diadakan.
Jelas Armand, desakan itu juga diadakan secara aman dan tiada laporan berhubung kejadian yang tidak diingini oleh penunjuk perasaan itu.
"Mereka mahu kerajaan mengusir Mahindra Rajapakse, yang didakwa mereka membunuh ratusan ribu penduduk berketurunan Tamil semasa perang saudara Sri Lanka yang berakhir pada tahun 2009," jelasnya.
Malaysia menjadi tuan rumah ICAPP yang berlangsung selama empat hari bermula 1 September.
Mahinda Rajapakse tewas mengejut dalam pilihan raya Presiden negara itu tahun lalu kepada pencabarnya, Maithripala Sirisena dalam pilihan raya yang diselubungi kebimbangan rakyat terhadap corak pemerintahan kuku besi dan isu rasuah.
#ICAPP #Mahinda Rajapaksa #Pemuda UMNO
;