NGO Malaysia sambut Hari Peringatan Genosid

Bernama
Januari 21, 2024 17:29 MYT
Acara kemuncak GMD 2024 ialah ucaptama yang disampaikan oleh bekas menteri luar Tan Sri Syed Hamid Albar, bertajuk "Never Again - Genocide in Gaza Repeating History". - Bernama
KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Ahad meraikan Hari Peringatan Genosid (GMD) 2024, satu hari yang didedikasikan untuk menggambarkan sejarah tragis kekejaman manusia terhadap manusia.
Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia yang menjadi tuan rumah acara itu berkata acara kemuncak GMD 2024 ialah ucaptama yang disampaikan oleh bekas menteri luar Tan Sri Syed Hamid Albar, bertajuk "Never Again - Genocide in Gaza Repeating History" yang memberi tumpuan kepada peranan Malaysia dalam mengheret Israel untuk berdepan keadilan dalam kerangka perundangan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan, IAIS berkata forum bertajuk "Crime of Genocide in Gaza - Ending Israel's Impunity dan United States' Complicity" turut diadakan dengan panel terlibat dalam perbincangan yang merangsang pemikiran, memberi penerangan tentang kerumitan isu genosid dan keperluan segera untuk kerjasama global bagi menghentikan imuniti dan persubahatan.
GMD yang diadakan setiap tahun pada Ahad ketiga Januari, diperkenalkan oleh Islamic Human Rights Commission (IHRC) berpusat di United Kingdom pada tahun 2010.
Ia bertujuan untuk memperingati genosid yang berlaku pada masa lampau dan berterusan sambil meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan genosid.
-- BERNAMA
#pertubuhan bukan kerajaan #NGO #hari peringatan genosid #IAIS
;