NGO Malaysia komited teruskan misi kemanusiaan ke Palestin tahun depan
Bernama
Disember 30, 2023 06:30 MYT
Disember 30, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini komited untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan bagi Palestin tahun depan sebagai tanda solidariti terhadap nasib rakyat di negara itu.
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari berkata untuk itu, kesemua NGO akan mengumpulkan dana bagi menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan penjagaan diri yang masih belum mencukupi untuk kegunaan penduduk di Gaza.
Beliau berkata setakat ini tiga misi bantuan kemanusiaan buat Palestin menerusi Ops Ihsan telah dilaksanakan tahun ini iaitu masing-masing pada 3 Nov, 10 Nov dan 19 Dis dengan nilai barangan termasuk kos pengangkutan berjumlah kira-kira RM14 juta.
"Walaupun kita telah menyalurkan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan penjagaan diri, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di Gaza.
"Pada masa ini, lebih 1.7 juta rakyat di sana tidak ada rumah dan hidup sebagai pelarian, jadi mereka memerlukan khemah untuk dijadikan tempat berlindung dan kita harap dapat menyediakan bantuan sedemikian," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau yang juga Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) berkata bantuan seterusnya dijangka akan dihantar awal Januari ini melibatkan 10 kontena menerusi jalan laut.
Ops Ihsan diselaraskan oleh Kementerian Luar, diketuai MAHAR bersama lebih 50 NGO lain termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor, BeVital dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Menyentuh mengenai perancangan Sekretariat Ops Ihsan bagi tahun 2024, Jismi berkata sekretariat itu merancang untuk membantu yuran pengajian dan kos sara hidup warga Palestin di negara ini selain mahu hab kemanusiaan di Kaherah berjalan lancar bagi mengendalikan penghantaran bantuan barangan misi kemanusiaan.
Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan berkata nilai sumbangan yang telah diagihkan ke Palestin sejak 10 Okt lepas adalah sebanyak RM3.5 juta merangkumi makanan kering iaitu biskut, beras, tepung dan kekacang, selimut dan baju sejuk serta panel solar bagi menjana tenaga untuk pelbagai kegunaan.
Beliau berkata pertubuhan itu juga merancang untuk membina semula infrastruktur seperti masjid, sekolah dan pusat perniagaan yang telah musnah akibat dibom tentera Israel.
"Bagaimanapun kita berharap dan berdoa supaya penindasan di sana dihentikan untuk membolehkan pembinaan semula dapat dilakukan," katanya.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid pula berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan NGO di Gaza bagi menentukan barangan yang amat diperlukan rakyat di negara itu sebelum ia dibincangkan bersama NGO lain di negara ini.
"Kita akan memberikan fokus kepada mana-mana perkara yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
Misalnya jika ada NGO yang nak menguruskan pembinaan semula sekolah, kita akan bagi mereka untuk melaksanakannya dan dari situ kita akan lihat berapa kos yang diperlukan. Ini penting supaya segala sumbangan yang telah diperoleh dapat digunakan dengan betul," katanya.
-- BERNAMA