NGO mahu PDRM siasat kesahihan akuan bersumpah sokongan kepada Anwar

Astro Awani
Januari 8, 2021 20:55 MYT
Dalam keadaan politik negara yang tidak stabil, situasi sebegitu tidak seharusnya berlaku kerana ia menimbulkan keresahan rakyat yang inginkan kepimpinan yang lebih stabil.
KUALA LUMPUR : Gerak Ekonomi Melayu Keramat menggesa polis menyiasat cubaan menjatuhkan kerajaan melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangannya, Zulhafiz Hanafiah berkata, polis juga perlu menyiasat kesahihan surat sokongan daripada Ahmad Zahid kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini.
Menurutnya, dalam keadaan politik negara yang tidak stabil, situasi sebegitu tidak seharusnya berlaku kerana ia menimbulkan keresahan rakyat yang inginkan kepimpinan yang lebih kukuh.
“Politik yang tidak stabil menganggu kelancaran perkembangan ekonomi negara apabila sesebuah ekonomi itu tidak stabil. Negara-negara luar juga tidak berminat untuk melabur di negara kita.
“Pada masa sama politik sekarang banyak menimbulkan keresahan rakyat yang menginginkan kepimpinan stabil di saat negara sedang dilanda COVID-19, selain isu kartel daging haram dan bencana banjir besar di beberapa buah negeri.
BACA: Annuar Musa dedah surat sokongan pemimpin UMNO kepada Anwar Ibrahim
“Tujuan laporan polis dibuat adalah untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kita tidak mahu ada pihak yang teraniaya kerananya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, perbuatan salah laku dan ketelusan yang hilang dalam kalangan pemimpin tidak boleh dikompromi sama sekali.
"Kita juga tidak mahu parti politik diseret dek kerana agenda peribadi oleh ahli politik itu sendiri.
"Kita tunggu dan lihat siasatan PDRM untuk menyiasat kesahihan surat berkenaan supaya tidak menimbulkan keresahan rakyat," katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi #UMNO #PDRM #NGO #polis #ekonomi #politik #kerajaan #Melayu #presiden #pembangkang #siasatan #rakyat #COVID-19 #keresahan rakyat
;