NGO, korporat disaran bantu golongan kurang berkemampuan menjelang Ramadan, Aidilfitri

Bernama
Mac 7, 2024 14:51 MYT
Dr Noraini (empat, kiri) bersama Datuk Dr Ameer Ali Mydin (tiga, kanan) menggaul bubur lambuk pada simbolik pengagihan bubur lambuk sempena pelancaran ‘Happening Raya menjelang Ramadan dan Aidilfitri' di Seremban hari ini - Gambar Bernama
SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta untuk mengambil peluang membantu golongan kurang berkemampuan menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama memberikan data dan maklumat golongan sasar terbabit bagi memudahkan proses pengagihan bantuan sekali gus meringankan beban mereka.
"Setiap tahun pada Ramadan memang banyak sukarelawan, NGO dan pihak korporat menerusi program korporat sosialnya (CSR) memberi sumbangan dan langkah itu kita memang alu-alukan dan galakkan lebih ramai lagi tampil membantu mereka yang memerlukan.
"Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Memang semua pihak perlu bersama santuni mereka, ia bukan sahaja (tanggungjawab) kerajaan tetapi semua pihak mempunyai peranan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kempen Happening Raya' di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Beliau berkata usaha berkenaan juga merupakan platform untuk menyatupadukan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama orang ramai.
Menurutnya, kementerian sentiasa menyambut baik segala usaha yang dilaksanakan oleh syarikat korporat dan swasta untuk memperkasa institusi kemasyarakatan dalam pengoperasian perniagaan mereka.
Noraini berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sentiasa berusaha mendekati golongan sasar untuk diberi perhatian dan terkini pihaknya telah mengenal pasti individu serta keluarga kurang berkemampuan yang akan dibantu untuk persiapan Aidilfitri mereka.
-- BERNAMA
#Ramadan #Aidilfitri #CSR #golongan sasar