NGO kesal orang ramai ganggu premis McDonald's
Astro Awani
Ogos 6, 2014 15:57 MYT
Ogos 6, 2014 15:57 MYT
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aqsa Syarif memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot barangan Israel supaya mengawal diri dan tidak melanggar batas undang-undang dalam menjayakan kempen itu sebagai menunjukkan rasa simpati terhadap penderitaan penduduk Palestin di Gaza.
Pengerusinya Dr Hafidzi Mohd Noor merujuk kepada kejadian premis McDonald’s (McD) di Dungun pada 5 Ogos di mana sekumpulan orang ramai mengganggu premis McD dan membaling objek keras serta menggoncang pintu kedai restoran berkenaan.
“Tindakan liar dan melampau ini tidak tergolong sebagai menyokong inisiatif boikot, sebaliknya lebih mirip kepada perbuatan merosakkan harta awam (vandalism),” kata Dr. Hafidzi.
Tambah beliau, sungguhpun boikot adalah hak pengguna melakukan tindakan sivil sebagai tekanan namun ia tidak mewajarkan seseorang itu bertindak secara fizikal atau lisan untuk menakut-nakutkan serta mendatangkan kecederaan batang tubuh atau emosi pada pemilik premis dan pekerjanya.
“Perbuatan tidak bertamadun ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana ia bertentangan dengan tata susila, akhlak Islam dan lunas undang undang,” katanya.
NGO berkenaan turut menasihatkan agar tidak diadakan sebarang bentuk demonstrasi atau perhimpunan di hadapan atau berhampiran mana-mana premis yang berkaitan.
“Aqsa Syarif menyarankan orang ramai menghubungi pihak polis jika perbuatan ganas seperti ini berulang lagi,” katanya.
Serangan kejam rejim Zionis ke atas Palestin yang bermula pada 8 Julai lalu mengakibatkan kematian ribuan rakyat Palestin dan menimbulkan gesaan pelbagai pihak agar orang ramai memboikot produk-produk yang didakwa memberi sumbangan kepada tabung perang Israel.
Kempen boikot bukan sahaja dilakukan di Malaysia tetapi di seluruh dunia, terutama sekali di negara majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Namun, di sebalik kempen boikot, terdapat beberapa insiden yang dilaporkan di media sosial di mana kakitangan makanan segera dan kafe jenama antarabangsa diserang.
Berikut merupakan antara perbualan hangat di media sosial ketika ini:
Jenama antarabangsa seperti Tesco Malaysia sebelum ini tampil ke hadapan untuk menafikan mereka menyalurkan hasil jualan atau keuntungan daripada pasaraya-pasarayanya untuk tujuan menyokong Israel.
Dalam satu kenyataan, Tesco Malaysia berkata mereka merupakan sebuah syarikat yang telah disenarai awam yang tidak bersifat politik. Mereka juga patuh sepenuhnya kepada polisi untuk tidak membuat sebarang sumbangan dan tajaan berbentuk politik.
“Sebarang dakwaan yang bertentangan akan dianggap sebagai satu fitnah.
“Tesco PLC yang berpengkalan di United Kingdom merupakan sebuah syarikat yang disenarai awam dan dimiliki oleh pemegang saham dari seluruh dunia,” kata Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Tesco Malaysia, Azlam Shah Alias dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pihak McDonald's Malaysia turut menafikan pihak mereka akan mengedar makanan secara percuma Jumaat sini, seperti yang tersebar luas di media sosial.
"Ia merupakan khabar angin yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," tulis McDonald's Malaysia dalam laman Facebook mereka.