NGO Islam: Gantung pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan
Teoh El Sen
Jun 14, 2013 16:28 MYT
Jun 14, 2013 16:28 MYT
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu hari ini mendakwa Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Atas sebab itu, gabungan tersebut mendesak kerajaan supaya menggantung pelaksanaan pelan itu sehingga isu sekolah vernakular diselesaikan.
“Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 adalah dikhuatiri haram kerana ia jelas bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dan pelaksanaannya akan mengancam perpaduan nasional yang menjadi idaman setiap rakyat Malaysia,” kata gabungan itu, yang mewakili 130 NGO, dalam satu kenyataan media hari ini.
Menjelaskan perkara ini dengan lebih lanjut, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia Dzulkarnain Taib, mewakili gabungan itu berkata peruntukan yang dimaksudkan itu adalah Perkara 152 dan 153.
“Di dalam Perlembagaan, ia tidak memberi apa-apa peruntukan untuk membina sekolah vernakular, ia cuma menjamin orang bukan Melayu boleh mempelajari bahasa ibunda mereka,” kata Dzulkarnain.
“Bukan untuk membina sekolah yang mengajar geografi, sejarah dalam bahasa ibunda mereka sendiri,” katanya.
“Perkara ini mungkin boleh dipertikaikan di mahkamah kerana ia adalah 'ultra vires' kepada Perlembagaan dan ia amat dikesali”
Gabungan itu juga menyatakan kekesalan atas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan yang mengatakan kerajaan akan terus membantu sekolah vernakular.
“Sebagai seorang yang memegang portfolio pendidikan, beliau sepatutnya arif mengenai persoalan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan tetapi kejahilannya menjadi liabiliti kepada Kabinet Berimbang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.”
Gabungan itu turut mendesak agar semua anggota Jemaah Menteri membuat setiap keputusan berdasarkan kepada landasan Perlembagaan dan “tidak mengikut perasaan”.