NGO Islam dan Melayu bangkit tentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam

Aizat Sharif
Oktober 13, 2013 07:00 MYT
Pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menyifatkan sekiranya penerbitan mingguan Katolik, The Herald dibenar menggunakan kalimah Allah ianya akan memberi tamparan besar kepada orang Islam dalam kehidupan mereka amnya.
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan hari ni tidak berpihak kepada orang Islam, maka ianya akan memerikan peluang kepada agama lain mengguna pakai kalimah Allah dalam apa jua bentuk sewenang-wenangnya.
“Sudah tentu kita akan bangkit dalam menyuarakan rasa tidak puas hati kita, jika ianya tidak berpihak kepada kepada orang Islam dan ini perlu kerana kita tidak mahu kalimah Allah di gunakan sewenangnya oleh agama lain kerana ditakuti ianya akan dipermain-mainkan dan tidak dijaga dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujar beliau lagi, ”Di negara lain, kemungkinan ada undang-undang yang membenarkan penggunaan kalimah Allah ini kepada sesiapa jua tanpa mengira agama namun di negara ini ianya adalah hak mutlak orang Islam,”.
Beliau menambah, IRIMM pernah menyuarakan bantahan mereka ketika isu tersebut mula menjadi hangat sekitar tahun 2009 dan 2010.
“Wakil-wakil IRIMM akan bersama-sama turun dan memberikan sokongan agar isu kalimah ‘Allah’ ini akan menjadi milik dan hak mutlak orang Islam di Negara ini,” kata Amir.
Sementara itu, Presiden Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah pula berkata bahawa beliau dan anggota dari pertubuhan tersebut akan turut bersama-sama memberikan sokongan agar keputusan isu kalimah Allah ini berpihak kepada orang Islam.
“Kita akan terus bangkit membantah penggunaan kalimah Allah sewenang-wenangnya oleh agama lain kerana meskipun negara ini mengamalkan kebebasan beragama, ini tidak bermakna segala bentuk hal yang terdapat dalam agama Islam juga mahu disentuh oleh agama lain,” katanya.
Beliau berpendapat jika keputusan hari ini tidak memihak kepada orang Islam, ianya akan memberi kesan mendalam kepada orang Islam.
“Generasi-generasi akan datang akan melihat ini sebagai satu kegagalan orang terdahulu dalam mempertahankannya dan kalimah Allah ini terlalu suci dan besar untuk sewenang-wenangnya digunapakai oleh orang yang tidak begitu memahaminya,” katanya lagi.
Pada 10 September lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, telah menangguhkan keputusan rayuan ke 14 Oktober selepas mendengar hujah rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah'.
#Kalimah Allah #Melayu #NGO Islam #Putrajaya
;