NGO disaran bersikap empati terhadap mangsa banjir
Farhan Hakimi
Disember 6, 2024 10:10 MYT
Disember 6, 2024 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) disarankan untuk lebih peka terhadap emosi mangsa banjir ketika memberi bantuan.
Menurut Presiden dan Pengasas, NGO Empati, Syahida Zulkarnain, ini kerana sebahagian mangsa banjir berada dalam keadaan tekanan akibat kehilangan tempat tinggal dan keterbatasan pergerakan terutamanya apabila berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Sebagai contoh, semasa misi bantuan, ada ketika mangsa menceritakan kesusahan yang dihadapi, namun pendengar memberikan respons seperti, ‘Saya pun macam itu, saya pun susah, saya ada masalah yang lebih teruk.’
"Situasi sebegini perlu dielakkan kerana akan memberi kesan kepada emosi mangsa.
"Jadi, sukarelawan perlu dididik agar lebih peka dalam memberikan sokongan emosi kepada mangsa,” katanya ketika mengulas berkenaan Psychological First Aid (PFA) dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
Ujarnya, PFA merangkumi aspek bantuan seperti mendengar rintihan dengan empati, menilai keperluan dan keperluan asas mangsa serta membantu mangsa mendapatkan kemaskini maklumat berkaitan banjir.
Menurut beliau, bantuan PFA penting untuk diberikan kepada kerana mereka memerlukan bantuan dan sokongan dari sudut psikologi.
Ini kerana situasi banjir menyebabkan mereka cenderung terdedah kepada tekanan dan gangguan emosi.
Katanya lagi, pengendalian PFA juga boleh dipelajari masyarakat dalam kapasiti sukarelawan menerusi latihan yang dipersiapkan oleh pakar dalam bidang psikologi.