NGO diminta bantu KPM kongsi data keciciran pelajaran - Menteri Pendidikan

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 13, 2023 15:03 MYT
Fadhlina Sidek menjawab soalan wartawan selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Changkat, Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti data yang dikemukakan pelbagai pihak berhubung isu keciciran pelajaran di negara ini.
Sehubungan itu, Menterinya, Fadhlina Sidek mengalu-alukan kajian yang dilakukan pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai masalah keciciran pelajaran.
Dalam masa sama, beliau berharap pihak-pihak berkenaan segera tampil berkongsi data dengan pihak KPM.
Menurut beliau, KPM boleh melakukan intervensi secara bersama berdasarkan input yang diperoleh daripada NGO dan pihak berkepentingan yang lain.
“Kita hendak jemput semua yang ada input berkaitan keciciran untuk datang dan bentang kepada KPM supaya kita dapat data lengkap dan intervensi kita boleh lakukan bersama, supaya pihak KPM tidak ketinggalan melihat intervensi secara bersama.
“Isu ini penting dan tak boleh dipinggirkan oleh mana -mana pihak yang berkepentingan,” kata Fadhlina.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan NGO berhubung sejuta kanak-kanak tidak mempunyai kemahiran literasi dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Changkat, di sini, pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir sebelum ini menyarankan KPM merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional.
Katanya, berdasarkan kajian dibuat terdapat sejuta kanak-kanak di negara ini berdepan dengan masalah keciciran literasi iaitu kurang menguasai kemahiran 3M iaitu (membaca, menulis dan mengira.)
Menurut Zul Fikri, penutupan sesi persekolahan selama 42 minggu akibat pandemik COVID-19 sebelum ini juga antara punca keciciran.
#keciciran pelajaran #NGO #Kementerian Pendidikan #Fadhlina Sidek
;