NGO desak Rina Harun bentang RUU gangguan seksual lebih cepat

Ridauddin Daud
Februari 16, 2021 09:10 MYT
RUU tersebut perlu segera diluluskan kerana undang-undang mengenai gangguan seksual yang ada sekarang sangat terhad terutama membabitkan bidang kuasanya. - Gambar hiasan/ FreeImages
KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) melibatkan gangguan seksual perlu segera dibentang dan diluluskan, kata Timbalan Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, RUU itu sepatutnya sudah dibentangkan pada sidang Parlimen yang lepas.
Tegasnya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, mengatakan RUU akan siap pada Mac nanti namun bagi mereka yang memperjuangkan isu tersebut, ia sebenarnya sudah lambat.
BACA: Draf RUU gangguan seksual di peringkat akhir, dijangka siap Mac ini - Rina Harun
“Isunya bila beliau umumkan Mac baru siap, kita semua tahu RUU tidak akan terlaksana melainkan selepas dibentangkan di Parlimen. Isunya sama ada Parlimen akan bersidang atau tidak untuk melaksanakan RUU ini?
“Itu kebimbangan kami. Kalau setakat buat pengumuman ia akan siap tapi tiada jaminan ia akan dibentangkan di Parlimen, maka kita melihat bahawa RUU ini tidak mempunyai hala tuju jelas,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Tambahnya, RUU tersebut perlu segera diluluskan kerana undang-undang yang ada sekarang sangat terhad terutama dari bidang kuasanya.
“Ia hanya meliputi isu-isu barangkali yang berkait rapat dengan gangguan seksual dengan majikan dan tempat kerja.
“Untuk orang awam di tempat awam, kita masih lagi mempunyai undang-undang yang tidak cukup komprehensif untuk lindungi mangsa,” ujarnya.
Katanya lagi, data terkini gangguan seksual dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapati, dalam Januari sahaja ada 24 kes melibatkan gangguan seksual sama ada secara fizikal atau dalam talian.
KPWKM | RUU gangguan seksual dijangka siap Mac ini - Kasthuri Patto
#RUU #gangguan #seksual #wanita #undang-undang #Parlimen #mangsa #presiden #menteri #keluarga #perintah kawalan pergerakan #PKP #Rina Harun