NGO dari zon merah tidak digalak datang beri bantuan banjir di Terengganu

Nur Fazlizai Ali
Disember 20, 2020 17:24 MYT
Mengenai kejadian tiga kenderaan hanyut di Kemaman setakat ini, Roslee berkata ia terjadi kerana pemandu tidak mempertimbangkan risiko sebelum melalui kawasan banjir.
KEMAMAN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari zon merah COVID-19, tidak digalakkan datang ke Terengganu untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir.
Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata buat masa ini, kekuatan gabungan tenaga 6,087 petugas 16 agensi mencukupi untuk operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.
"Sekiranya masih ada NGO yang ingin datang membantu, mereka perlu mendaftar dengan Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau balai polis berhampiran, untuk memudahkan kita mengenal pasti mereka berasal dari zon mana.
"Ini kerana Kuala Lumpur dan Selangor masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kemasukan ke Terengganu agak berisiko ketika pandemik COVID-19 masih ada.
"Selain itu, bagi mereka yang ada ahli keluarga di Terengganu, jangan risau kerana pihak berkuasa telah bekerjasama membantu semua mangsa banjir yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan dan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua mangsa banjir agar membawa barangan berharga seperti wang tunai, barangan kemas dan dokumen penting, ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Jangan tinggalkan di rumah kerana mungkin ada yang cuba mengambil kesempatan (mencuri). Bagaimanapun, polis memberi jaminan akan membuat rondaan dengan lebih kerap di kawasan rumah yang ditinggalkan.
"Saya juga berkesempatan membuat tinjauan dan mendapati masih ada kanak-kanak dibiarkan bermain air banjir tanpa pengawasan. Mungkin alasan mereka sudah biasa dengan situasi tersebut, namun ini sangat bahaya dan tidak boleh dipandang remeh kerana arus deras boleh menyebabkan mereka lemas," katanya.
Ditanya mengenai kejadian tiga kenderaan hanyut di Kemaman setakat ini, Roslee berkata ia terjadi kerana pemandu tidak mengambil kira risiko, ketika meredah jalan yang ditenggelami air.
"Kalau dah nampak jalan tenggelam, jangan sesekali cuba untuk redah juga, kerana ini sangat membahayakan nyawa. Gunakan laluan alternatif yang lain demi keselamatan," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #terengganu #zon merah #NGO #COVID-19 #tidak perlu datang #PKPB #Kuala Lumpur #Selangor #Lembah Klang #Ketua Polis Terengganu #Roslee Chik
;