NGO bekerjasama dengan JKM bantu golongan OKU dan ibu tunggal

Khairuddin Rushdi Ayuphan
Februari 17, 2021 18:52 MYT
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bertanggungjawab ke atas 500 pek bungkusan makanan yang diterima dan kemudiaannya diagihkan ke golongan ibu tunggal serta OKU di Sibu, Kapit dan Kanowit. - Foto Astro AWANI
SIBU: Semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu golongan terjejas ketika tempoh pandemik COVID-19 ini.
Tidak kira sama ada dari pihak kerajaan, sektor korporat mahupun badan bukan kerajaan (NGO), kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam meringankan beban rakyat terutamanya golongan yang terkesan ketika ini.
Itu yang dilakukan syarikat tempatan Petro Flanges and Fitting Sdn Bhd yang tampil bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sarawak dalam membantu golongan ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan kelompok berpendapatan rendah B40.
Menurut Pengarah Projek Petro Flanges And Fitting, Azizei Fauzi, 500 pek bantuan berupa makanan kering akan diagihkan kepada golongan-golongan ini di tiga daerah di utara Sarawak.
NGO bantu ringankan beban OKU & ibu tunggal
"Jadi kami di bawah syarikat tempatan dikenali sebagai Petro Flanges and Fitting menyediakan set bantuan berjumlah 200 pek untuk golongan kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal di Sibu.
Bukan hanya di Sibu, tetapi 200 pek juga diagihkan di Kanowit dan 100 pek di Kapit.
"Jadi bantuan ini akan disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Ujarnya, pihak JKM akan mengenal pasti golongan yang tersenarai dalam kelompok memerlukan di tiga kawasan tersebut untuk diberikan sumbangan berkenaan.
"Ini adalah idea pengarah syarikat kami. Kami di sini menjadi wakilnya. Jadi ini adalah merupakan sumbangan ikhlas, mungkin tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit," kongsinya.
AWANI Sarawak [17/02/2021] - Tiga kematian hari ini | Elak kes merebak | Diiktiraf petugas barisan hadapan
Tambah beliau, syarikat itu membelanjakan RM30 ribu yang dikhas untuk menggerakkan inisiatif tersebut.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Makanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kompleks Islam Sibu, di sini pada Rabu.
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #pandemik #COVID-19 #Sibu #Petro Flanges and Fitting Sdn Bhd
;