NGO anjur pemeriksaan mata percuma untuk 10,000 pelajar di Perak
Abd Razak Mohd Ali
September 27, 2022 13:54 MYT
September 27, 2022 13:54 MYT
IPOH: Mata adalah organ terpenting di dalam pembelajaran kanak-kanak di mana dikatakan 80 peratus daripada apa yang dipelajari mereka adalah melalui penglihatan.
Menyedari perkara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ipoh, Persatuan Kebajikan Amal Makmur menganjurkan program pemeriksaan mata percuma untuk pelajar-pelajar di negeri Perak.
Pengerusi program, K. Nachemutu berkata, sejak dimulakan Julai lalu, lebih 5,000 pelajar dari 30 buah sekolah telah menjalani pemeriksaan mata.
Menurutnya, mereka mensasarkan 10,000 orang pelajar akan menjalani pemeriksaan mata, tahun ini.
“Setakat ini ada ramai yang kena pakai cermin mata dan ada berpuluh pula kena dirujuk kepada klinik mata ataupun pakar mata.
“Bagi pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga miskin, kami membantu mereka dengan subsidi atau sumbangan cermin mata.
“Sumbangan cermin mata itu kami perolehi hasil sumbangan dari pelbagai NGO lain seperti Kelab Rotary, Kelab Lions di samping penderma perseorangan,” katanya yang ditemui pada program
pemeriksaan mata di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor, dekat sini, hari ini.
Seramai 200 murid tahun 1 hingga 6 sekolah itu menjalani pemeriksaan mata secara percuma yang turut dihadiri wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Sementara itu, Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Perak, Raudah Napiah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada NGO, khususnya untuk membantu pelajar dari golongan miskin.
“Selain daripada masalah penglihatan, murid-murid kita ini juga memerlukan bantuan untuk pendengaran seperti alat pendengaran kerana ada juga yang mempunyai masalah pendengaran.
“Sekarang ini, pihak jabatan juga ada menjalankan projek bantuan untuk murid-murid berkeperluan khas, khususnya bahagian pendengaran,” ujarnya.