Nga Kor Ming, 3 wakil DAP sumbang gaji untuk kurang hutang negara

Aida Aziz
Mei 27, 2018 09:35 MYT
Kor Ming ketika keluar dari Istana Kinta sempena Pengerusi Parti-Parti Komponen Pakatan Harapan Negeri menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 11 Mei lalu. - BERNAMA
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak mengambil keputusan menyumbang wang mereka bagi membantu mengurangkan beban hutang yang ditanggung kerajaan.
Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar memaklumkan inisiatif itu juga bagi menyahut dasar yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad suatu masa dahulu, iaitu kepimpinan melalui teladan.
"Hari ini kita telah melihat Nga Kor Ming menunjukkan teladan yang begitu baik dengan memberikan sumbangan sebanyak RM16,000 untuk membantu kerajaan dalam menghadapi satu krisis yang agak mudarat.
"Saya dan juga rakan seperjuangan bersama-sama dengan beliau dengan semangat yang sama, semangat sebagai anak Malaysia, patriotik terhadap negara, kami akan beri sumbangan juga," katanya kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat DAP Perak di sini, hari ini.
Selain Sivakumar yang memberi sumbangan sebanyak RM 8,000, wakil rakyat lain yang turut berbuat demikian termasuk Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kan Woh (RM8,000) dan ADUN Kepayang, Dr Ko Chung Sen (RM10,000).
Sementara itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata beliau berbangga dengan semangat yang dizahirkan rakyat Malaysia berhubung sumbangan untuk membantu mengurangkan hutang negara.
"Semalam ada seorang lelaki, jika tidak silap saya dari Batang Berjuntai, ada menulis surat kepada Menteri Kewangan memberi derma RM100, cuba membantu negara kita membayar hutang.
"Ini adalah kisah yang mengharukan, khususnya di bulan Ramadan. Semalam juga ada seorang lelaki kaum India telah menderma lima peratus daripada gajinya untuk membantu kerajaan baru bayar hutang.
"Hari ini, saya umumkan untuk derma gaji bulan ini sebanyak RM16,000 kepada kerajaan baru sebagai tanda solidariti Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan," kata Kor Ming pada sidang media sama.
Pada Khamis lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan, setakat 31 Dis 2017, hutang dan tanggungan Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
#dap perak #gaji #Hutang negara #Ko Chung Sen #Nga Kor Ming #Pakatan Harapan #Tun Mahathir #V Sivakumar #Wong Kan Woh
;