Nga ketengah 'diplomasi durian' pada Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China

Bernama
Julai 6, 2024 04:00 MYT
Semasa acara itu, durian terkenal Malaysia telah dipamerkan kepada pemimpin terbabit termasuk Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China iaitu Ni Hong. - Foto Facebook/Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah mengetengahkan layanan yang digelar sebagai 'diplomasi durian' apabila menghidangkan raja buah tempatan itu kepada pemimpin tinggi ASEAN dan China pada mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 baru-baru ini.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memupuk hubungan yang lebih mesra dan membuahkan hasil antara negara terbabit.
Semasa acara itu, durian terkenal Malaysia telah dipamerkan kepada pemimpin terbabit termasuk Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China iaitu Ni Hong.
Nga juga berkata langkah itu menandakan satu lagi kejayaan negara dalam menonjolkan kehebatan durian Malaysia di peringkat global dan menambah bahawa tahun lepas, eksport durian dari negara anggota ASEAN seperti Thailand serta Vietnam ke China melebihi RM21.6 bilion.
"Bagi Malaysia, nilai eksport durian sejuk beku ke China melonjak daripada RM170 juta pada 2018 kepada RM1.19 bilion pada 2023," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Melalui pemeteraian memorandum persefahaman antara Malaysia dan China baru-baru ini bagi membolehkan durian segar dieksport, Nga menjangkakan peningkatan ketara dalam eksport durian Malaysia serta mengunjurkan nilai pasaran RM5 bilion.
Beliau turut memuji inisiatif kerajaan MADANI yang dijangka memberi manfaat kepada penanam durian tempatan.
ACMROCH 2024, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Khamis, buat julung kalinya dipengerusikan oleh Malaysia.
Acara itu memudahkan perkongsian pengetahuan yang meluas, penyelarasan dasar dan penerokaan peluang yang saling menguntungkan bagi pembangunan bandar mampan.
-- BERNAMA
#sejuk beku #Nga Kor Ming #mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China #ACMROCH 2024
;