Nga cadang Perayaan Kuih Bulan Octagon masuk kalendar TMP 2024

Amirrul Rabbani
September 23, 2023 04:30 MYT
Nga memalu gong pada Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh Octagon di Ipoh malam tadi. Turut sama, Rumaizi (kiri). --fotoBERNAMA
IPOH: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memasukkan Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon ke dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Ini kerana, katanya, penganjuran majlis tersebut di Gerbang Perniagaan Paloh, Jalan Theater, dekat sini, mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat.
Walaupun perayaan itu disambut oleh masyarakat Cina, namun ia dilihat mampu menjadi acara yang menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Semangat perpaduan dalam kepelbagaian ini adalah satu amalan mulia yang wajib dipupuk dan didokong bersama.
“(Dalam majlis ini) kita ada pelbagai pertunjukan kebudayaan yang boleh ditonjolkan, kerana kepelbagaian kita adalah kekuatan negara kita.
"Dan ia harus dipertahankan sebagai warisan negara,” kata Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan ketika ditemui pada Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Jenny Choi Tsi Jen, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) Datuk Liew Chee Ming.
Dalam pada itu, Nga berkata, Gerbang Perniagaan Paloh yang menjadi kawasan tumpuan masyarakat Cina merupakan simbol pelengkap kepada kemajmukan masyarakat di Ipoh.
Ia seperti mana Gerbang Malam di Jalan Dato Tahwil Azar yang menjadi ikonik kepada masyarakat Melayu dan Little India di Jalan Ipoh yang menjadi tumpuan terutama masyarakat India.
"Sekarang kita ada Paloh Street di Jalan Theater dan Jalan Mustapha Al-Bakri yang mewakili masyarakat Cina pula.
"Apabila Melayu, Cina dan India bersatu, kita kuat bersama. Perpaduan dalam kebudayaan ini wajib dipupuk bersama kerana kita mahu membawa politik baru yang menyatukan, bukan memecahkan masyarakat berbilang kaum," katanya.
Sementara itu, Rumaizi dalam ucapannya berharap lebih banyak persatuan dan syarikat swasta tampil ke hadapan sebagai pemain industri pelancongan.
"Sektor pelancongan bukan hanya berfokus kepada aktiviti sedia ada, tetapi kita mahu wujudkan aliran-aliran baru, antaranya sektor kesihatan, perhotelan dan pengangkutan, yang memerlukan lebih banyak penglibatan swasta bekerjasama sebagai pelaksana," katanya.
Perayaan Kuih Bulan merupakan satu perayaan terpenting selain Hari Tahun Baru Cina, disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri.
Ia lazimnya disambut pada akhir bulan Ogos hingga September.
#Nga Kor Ming #kalendar pelancongan #kuih bulan #Tahun Melawat Perak 2024
;