New Sabah Times melabuhkan tirai

Bernama
Disember 30, 2020 06:46 MYT
Kali pertama operasi Sabah Times ditutup pada 24 Mac 1995 sebelum dihidupkan semula pada 8 Mac 1998, yang kemudian dikenali sebagai New Sabah Times.
KOTA KINABALU: New Sabah Times (NST) akan mencetak edisi terakhirnya hari ini (31 Dis) menamatkan operasinya selepas lebih enam dekad sebagai antara sumber berita tertua dan bereputasi baik di negeri ini.
Pengarah Urusan NST, Felix Gusti berkata penurunan mendadak dalam edaran akhbar dan hasil iklan adalah sebab utama penutupan syarikat itu.
Ia sebelum ini dijadualkan ditutup pada 20 Dis tetapi Gusti berkata syarikat itu mahu menghabiskan kertas akhbarnya sebelum ditutup pada Khamis.
Ketua Pengarang Bahasa Melayu NST, Amin Muin mengesahkan kakitangan syarikat itu ditawarkan gaji tiga bulan tanpa pampasan lain.
Datuk Muguntan Vanar, 55, yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar itu dari 1988-1993, berkata beliau sedih akhbar itu ditutup kerana ia melatih ramai wartawan Sabah.
"Berita yang disiarkan Sabah Times merakamkan banyak peristiwa bersejarah di Sabah terutama pada tahun 1960-an, 70-an dan bahkan 1980-an hingga awal 1990-an," kata Muguntan yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA).
Muguntan, yang kini merupakan Ketua Biro The Star di Sabah berkata nama Sabah Times sinonim dengan akhbar untuk ramai warga Sabah.
"Masalah yang dihadapi Sabah Times adalah masalah global yang dihadapi banyak syarikat akhbar di negara ini dan di seluruh dunia kerana cabaran media sosial," katanya.
NST ditubuhkan pada 1949 yang diberi nama Kinabalu Times kemudian dinamakan semula sebagai Sabah Times, oleh Tun Muhammad Fuad Stephens yang sebelum itu bekerja sebagai wartawan di North Borneo News, akhbar mingguan berpangkalan di Sandakan, sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama selepas pembentukan Malaysia pada 1963.
Kali pertama operasi Sabah Times ditutup pada 24 Mac 1995 sebelum dihidupkan semula pada 8 Mac 1998 berikutan pengambilalihan oleh syarikat penerbitan, Inna Kinabalu Sdn Bhd yang kemudian dikenali sebagai New Sabah Times.
Seorang lagi bekas kakitangan, Joseph Joswan Bingkasan, 65, berkata banyak yang dipelajarinya sebagai wartawan ketika berkhidmat dengan Sabah Times.
"Saya bertugas sebagai wartawan dengan Sabah Times di bawah bimbingan bekas Ketua Pengarang, Hugh Mabbett, seorang warga Australia pada akhir 70-an. Penerbitan Sabah Times beberapa kali digantung, tetapi ia tetap berjaya menembusi pasaran.
"Sabah Times adalah jenama sebutan ramai. Rakyat Sabah khususnya golongan tua, merujuk semua akhbar sebagai 'Sabah Times'. Bila mereka kata 'baca Sabah Times' mereka merujuk akhbar, tidak semestinya Sabah Times.
"Sabah Times akan dirindui, tetapi saya optimis ia akan kembali beroperasi," kata Bingkasan, yang kemudian menjadi Editor Berita, di New Straits Times.
Mengimbau kembali kenangannya ketika bekerja di Sabah Times, Bingkasan berkata berikutan kekurangan staf, ada kalanya mereka terpaksa membuat liputan berita serta menyunting berita untuk bahagian Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Kadazan.
"Kadang-kadang sudah terlambat untuk pulang ke rumah, jadi saya tidur atas meja saya," kata Bingkasan yang dianugerahkan Tokoh Kewartawanan Sabah oleh Sabah Press Club, tahun lepas.
Dengan penutupan New Sabah Times, hanya tinggal dua akhbar berbahasa Inggeris di Sabah iaitu Daily Express dan Borneo Post.
-- BERNAMA
#New Sabah Times #media sosial #rakyat #akhbar #Sabah #edaran #penurunan #henti operasi #pampasan #iklan #Felix Gusti
;