NETR bawa kesan limpahan ekonomi kepada kontraktor kecil - Pengarah Urusan Gading Kencana
Irfan Faruqi
Julai 27, 2023 11:30 MYT
Julai 27, 2023 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Dasar yang diaspirasikan kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) berada di landasan yang tepat memandangkan ia berupaya meningkatkan permintaan terhadap pemasangan sistem solar oleh pengguna domestik.
Pengarah Urusan Gading Kencana Datuk Dr Ir Guntor Tobeng berkata, peningkatan tersebut memberi kesan limpahan ekonomi yang positif kepada kontraktor kecil dan mengembangkan kek ekonomi negara.
“Kita dapati kerajaan pada hari ini membuat dasar-dasar yang tepat untuk diteruskan. Selalunya rakyat akan tanya, apabila ada dasar-dasar besar seperti NETR ini, apa manfaat yang akan mereka perolehi?
“Memang syarikat besar seperti Gentari dan Sime Darby menerima keuntungan, tetapi apa yang diterima oleh rakyat peringkat bawahan?
"Jadi, pada hari ini, dengan memasang solar, seseorang dapat mengurangkan kos sara hidup," katanya merujuk kepada pengguna elektrik dengan bil RM708 sebulan ke atas.
Pada masa sama, tambah Guntor, ia juga memberi manfaat kepada kontraktor elektrik yang selama ini berharap kepada tender daripada Jabatan Kerja Raya tetapi kini kerja-kerja tersebut semakin berkurangan,
"Kontraktor-kontraktor ini akan dapat tawaran daripada syarikat-syarikat solar untuk pemasangan sistem solar. Maka, ini akan merancakkan ekonomi secara swasta.
"Bermaksud, kerajaan tidak perlu keluarkan bajet, sebaliknya kita keluarkan sendiri dan dapat mengembangkan kek ekonomi negara,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Jelasnya, kadar pemasangan sistem solar domestik ini bertambah susulan tindakan kerajaan menetapkan tarif elektrik baharu bagi penggunaan melebih RM708 sebulan.
Bagi mengelakkan membayar caj elektrik lebih tinggi pengguna khususnya isi rumah berpendapatan tinggi memilih untuk memasang sistem solar di kediaman masing-masing.
“Walaupun NETR belum dilaksanakan tetapi pengumuman tarif elektrik baharu telah membuka minda semua orang untuk terus berpakat (menggunakan sistem tenaga solar) dengan segera,” kata Guntor lagi.