Netizen undi 'mati' di IG boleh didakwa membunuh tanpa niat - Peguam
Amirah Madhihah
Mei 15, 2019 17:58 MYT
Mei 15, 2019 17:58 MYT
UMUM mungkin tidak mengetahui golongan yang menggalakkan serta membantu seseorang untuk bunuh diri dianggap sebagai membunuh tanpa niat.
Di Amerika Syarikat, kesalahan ini digelar sebagai ‘involuntary manslaughter’ atau membunuh tanpa niat.
Semalam, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ekoran menerima 69 peratus sokongan untuknya memenuhi hasrat membunuh diri.
Peguam dan Penganalisis Undang-Undang, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata di Malaysia sudah ada Seksyen 304A Kanun Keseksaan undang-undang yang sama diguna pakai di Amerika Syarikat.
“Amerika ada involuntary manslaughter dan kita pula ada 'kesalahan membunuh tanpa niat secara cuai'.
"Kedua-dua ini disebabkan kecuaian,” katanya semasa ditemu bual dalam program Komen Tengah Hari di Astro AWANI.
Tambahnya lagi, netizen yang mengundi atau memberi pendapat berkenaan bunuh diri itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan.
“Jangan mereka ingat orang yang nak bunuh diri itu bercakap secara main-main. Jadi, mereka perlu ambil tindakan serius bila ada perkara ini berlaku.
"Mereka mungkin boleh memberi nasihat... sekali pun undian itu diminta hanya 'ya' atau 'tidak', mereka masih lagi memberi komen pada ruang komen Instagram,” tegasnya.
Beliau juga tidak menolak seandainya kerajaan mahu menimbang untuk menggunakan Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh tanpa niat dengan cuai sebagai ganti untuk penghilangan nyawa dengan kelalaian di Malaysia jika pengendali media sosial tidak dapat menangani masalah ini.
Menurut Penganalisis Undang-Undang itu, orang ramai yang mengundi sesuka hati mereka hingga menyebabkan kematian boleh didakwa dan dihukum sekurang-kurangnya penjara dua tahun.
Memetik laporan portal berita Malay Mail, peguam dan ahli politik, Ramkarpal Singh menggesa pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat kes ini.
Beliau juga menyelar tindakan masyarakat yang dengan secara tidak bertanggungjawab mendorong kepada kematian remaja itu.
“Bunuh diri merupakan satu kesalahan di negara ini. Jadi, sesiapa yang bersubahat dengan kesalahan ini juga perlu dikenakan tindakan,” tegasnya.
#304A Kanun Keseksaan
#Amerika Syarikat
#bunuh diri
#Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
#Gobind Singh Deo
#Instagram
#Involuntary Manslaughter
#Malaysia
#media sosial
#membunuh tanpa niat
#Ramkarpal Singh
#SKMM
#undang-undang