Netizen teruja pengundi luar biasa ramai, lebih bersemangat
Kohilah Sekaran
Mei 9, 2018 10:42 MYT
Mei 9, 2018 10:42 MYT
Pesta demokrasi terbesar negara sudah tiba.
Hari ini, rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas menunaikan tanggungjawab mereka membuang undi bagi memilih calon yang akan mewakili mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Media sosial turut dibanjiri pelbagai ucapan dan visual dari netizen di seluruh negara yang sudahpun berada di pusat mengundi masing-masing sejak awal pagi.
Ramai yang memperkatakan mengenai bilangan pengundi yang dilihat luar biasa ramainya, malah golongan muda kelihatan lebih bersemangat kali ini, memenuhi saluran mengundi pada awal pagi.
Pengundi turut teruja melihat barisan yang agak panjang, ada yang mencecah satu kilometer, walaupun pusat mengundi baru sahaja dibuka untuk proses mengundi pada jam 8 pagi.
"Ini adalah Malaysia yang saya mahu," kata seorang netizen, Khoo.
"Barisan agak panjang sehingga orang mula beratur di kaki jalan utama," kata Ezrena yang kini berada di Subang.
Seperti biasa, pengundi yang sudah melaksanakan tanggungjawab mereka membuang undi tidak ketinggalan berkongsi gambar ‘selfie’ mereka dengan jari telunjuk yang dicelup dakwat.