Netizen setuju keputusan JPN had nama anak

Sinar Harian
September 30, 2018 10:10 MYT
JPN menetapkan 80 aksara sebagai panjang maksimum untuk bayi baru lahir. - Foto Sinar Harian
Keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menetapkan panjang maksimum tidak lebih 80 aksara untuk mendaftarkan nama anak yang baru dilahirkan disambut baik netizen.
Rata-rata netizen berpendapat, tindakan ibu bapa meletakkan nama panjang untuk anak mereka bakal menyusahkan anak mereka sendiri pada masa hadapan terutamanya ketika di sekolah.
“Esok bila anak nak periksa, orang lain dan mula jawab soalan tetapi anak awak masih terkial-kial tengah tulis nama. Kesian budak tu. Letak nama panjang-panjang bukan dipanggil semua pun,” tulis seorang netizen.
Tidak cukup dengan nama yang panjang, ejaannya juga disifatkan sebagai pelik dan ada kalanya susah untuk disebut.
Jika dilihat kepada trend hari ini, kebanyakan ibu bapa gemar meletak nama anak mereka secara panjang. Malah ada juga yang letak sehingga lima patah perkataan.
Kadang kala ia semata-mata untuk kelihatan lebih moden dan bergaya.
Selain terpaksa melalui kesukaran ketika persekolahan, tidak kurang ada juga netizen memikirkan nasib lelaki yang bakal menikahi anak mereka kerana terpaksa menghafal dan menyebut nama tersebut dengan jelas.
Menurut JPN, rekod terpanjang pada masa ini adalah 78 aksara sebanyak empat patah perkataan.
Semalam, JPN menetapkan 80 aksara sebagai panjang maksimum untuk bayi baru lahir dan ibu bapa juga tidak digalakkan meletakkan nama yang tidak membawa maksud tidak baik.
Nama singkatan seperti Abd juga tidak dibenarkan dan mesti dieja penuh Abdul atau Mohd mesti dieja Mohamad.
#aksara #anak #daftar #Jabatan Pendaftaran Negara #JPN #nama #panjang #pelik #sekolah
;