Netizen kongsi dua video insiden kemalangan
Sinar Harian
Ogos 13, 2019 10:58 MYT
Ogos 13, 2019 10:58 MYT
Sekurang-kurangnya dua lagi video tular di media sosial yang dimuat naik netizen berkaitan insiden kemalangan jalan raya di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) berhampiran susur Bandar Baru Bangi kelmarin.
Dalam insiden itu, pemandu kereta Axia, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, meninggal dunia di Hospital Nilai ketika mendapatkan rawatan selepas dia terlibat dengan perselisihan faham dengan seorang lelaki dalam kemalangan itu.
Video pertama berdurasi 29 saat itu menunjukkan situasi di mana kereta Axia yang dipandu arwah Syed Muhammad Danial dilihat berhenti di tepi lorong paling kanan lebuh raya.
Turut kelihatan dalam video itu adalah kereta suspek, yang berada di belakang kereta Perodua Axia terbabit.
Terdapat tiga lelaki dalam video itu termasuk Syed Muhammad Danial, suspek dan seorang lelaki lain.
Dalam video itu, Syed Muhammad Danial dilihat membuka pintu tempat pemandu keretanya kemudian membuka pintu bonet serta kelihatan interaksi antara ketiga-tiga mereka.
Video kedua yang tular berdurasi enam saat dimuat naik pengguna media sosial Cik RosHani di Facebooknya.
Menurutnya, ketika memuat naik video itu, dia baharu mengetahui tentang kematian salah seorang individu yang dirakamnya serta mengucapkan takziah dan turut menyatakan keinginannya agar video itu tidak dimanipulasi.
Menurutnya, video itu dirakam pada jam 1.42 petang yang mana kejadian baru sahaja berlaku.
"Video ini bukan untuk menentukan siapa betul atau salah sekadar untuk menunjukkan apa yang berlaku di lokasi kejadian.
"Kejadian telah menjadi kes polis dan (netizen) berhenti daripada membuat sebarang andaian dan serahkan kepada polis untuk menyiasat," katanya yang turut menyatakan akan tampil memberi keterangan kepada polis.
Selain perkongsian video, turut tular adalah komen netizen yang mendakwa berada serta melihat insiden berkenaan dan menceritakan apa yang mereka lihat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah merakam keterangan beberapa saksi yang mana ada antara mereka tampil secara sukarela dan ada juga diminta tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, Syed Muhammad Danial maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di KM293.5 Lebuhraya Utara-Selatan.
Berikutan itu sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an ditahan reman selama tujuh hari sehingga 17 Ogos depan bagi membantu siasatan.
Terdahulu tidak lama selepas kemalangan itu berlaku, telah tular di media sosial video berdurasi 15 saat yang menunjukkan insiden berlakunya perselisihan faham antara Syed Muhammad Danial dan suspek.