Netizen kesal ramai sebar berita palsu MH370
Nizam Bakeri
Februari 14, 2016 13:45 MYT
Februari 14, 2016 13:45 MYT
NETIZEN mengecam penyebaran berita palsu mengenai penemuan juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah di sebuah hospital di Taiwan yang viral minggu lalu.
Laporan yang ditulis oleh Barbara Johnson itu menyebut bahawa ‘Kapten Zaharie’ dijumpai mengalami dehidrasi dan amnesia oleh penduduk sebuah kampung di Taiwan lalu dibawa ke Hospital Perubatan Taipei untuk rawatan lanjut.
Khabar angin yang direka oleh portal berita palsu World News Daily Report itu bukan sahaja memperdaya pengguna laman sosial bahkan beberapa portal berita dalam talian yang turut menyiarkan berita berkenaan.
Sebar dahulu, semak kemudian
Sikap gopoh ini dilihat oleh netizen sebagai tindakan bodoh dan kejam kerana tidak mempertimbangkan perasaan keluarga juruterbang berkenaan dan semua pihak yang terlibat dengan tragedi kehilangan MH370.
Khabar angin tersebut turut dinafikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menegaskan bahawa pihak kementerian akan memberikan perkembangan semasa mengenai MH370 dan sebarang berita berkaitan harus dirujuk kepada pihak kementerian terlebih dahulu.
Foto pesakit dalam berita palsu berkenaan sebenarnya merupakan foto Aung Myo Oo, seorang pekerja asing Myanmar yang terlantar di Hospital Kuala Lumpur selepas diserang pada tahun 2013.
#berita palsu
#Hospital Perubatan Taipei
#juruterbang MH370
#Kapten Zaharie
#mengalami dehidrasi
#World News Daily Report