Netizen jangan buat tanggapan negatif kes bunuh ketua jururawat - Polis
Afiezy Azaman
Mei 17, 2019 12:47 MYT
Mei 17, 2019 12:47 MYT
Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes bunuh melibatkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berharap orang ramai menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci dan tidak membuat sebarang tanggapan negatif mengenai kes itu.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya jangan membuat tanggapan-tanggapan negatif, biar kita siasat untuk mencari kebenaran.
“Netizen janganlah terus membuat kesimpulan melulu dan tohmahan yang tidak berasas semasa bulan baik ini. Jadi serahkan kepada polis untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI di laman media sosial, terdapat segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab membuat pelbagai spekulasi terhadap kes bunuh Siti Kharina.
Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas dan kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital pada 8 Mei lalu.
Bagaimanapun, pada Khamis, polis mengesahkan Siti Kharina ditemukan meninggal dunia di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, Noor Azam berkata mayat Siti Kharina ditemukan pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu selepas ternampak kesan darah dari bawah bilik rumah itu.
Setakat ini, polis telah menahan tiga suspek termasuk seorang wanita yang merupakan warga Nigeria dan Pakistan.
#Cyberjaya
#Datuk Noor Azam Jamaludin
#kes bunuh
#Ketua Jururawat Hospital Serdang
#Ketua Polis Selangor
#kondominium
#netizen
#Orang ramai
#polis
#Siti Kharina Mohd Kamarudi
#spekulasi
#tanggapan negatif