Nepostisme: Prinsip PM terhakis selepas tidur sebantal dengan UMNO dan BN? - Wan Saiful
Umavathi Ramayah
Februari 14, 2023 15:03 MYT
Februari 14, 2023 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menghentikan amalan nepostisme dengan melantik ahli keluarga ke jawatan penting dalam kerajaan, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurut beliau, ini adalah kerana, amalan nepotisme pernah ditentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).
"Namun, baru-baru ini, kita dikejutkan dengan keputusan Perdana Menteri melantik anak beliau, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada beliau.
"Selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut, negara dikejutkan pula dengan pemilihan beliau (Nurul Izzah) untuk mengetuai secara bersama satu sekretariat yang dibentuk bagi menyokong operasi jawatankuasa penasihat di Kementerian Kewangan," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Justeru, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan prinsip Anwar yang selama ini menentang kronisme dan nepotisme.
"Adakah prinsip itu semakin terhakis setelah mereka mula tidur sebantal dengan UMNO dan BN (Barisan Nasional)? Takkanlah tak ada dalam kalangan Ahli Parlimen boleh pegang jawatan tersebut hingga terpaksa pilih anak sendiri," sindir beliau.
Wan Saiful turut menyifatkan perkara itu sebagai memalukan dan meletakkan negara dalam amalan nepotisme yang membimbangkan.
"Sekarang ini Malaysia konon-kononnya dah jadi negara Madani. Kalau dibandingkan dengan negara kecil dan miskin di dunia seperti Burundi, Kiripati, realitinya presiden atau orang politik di negara berkenaan pun tidak pernah buat apa yang dibuat oleh pemimpin Madani di Malaysia ini," ujarnya.