Nenggiri perlukan 'sentuhan' kerajaan pusat - UMNO Gua Musang

Bernama
Julai 6, 2024 06:20 MYT
Mohd Syahbuddin ketika menyertai program Kembara Ini Warisan Kita di Kampung Batu Papan. - Foto Facebook/Mohd Syahbuddin Hashim
GUA MUSANG: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu memberikan peluang dan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat di kawasan itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim berkata masyarakat di Nenggiri memerlukan 'sentuhan' Kerajaan Pusat untuk membangunkan kawasan berkenaan.
"Kita percaya sekiranya BN diberikan mandat dan sokongan daripada semua pihak, maka Nenggiri akan berubah wajah," katanya kepada pemberita pada program Kembara Ini Warisan Kita di Kampung Batu Papan di sini semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.
Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri berlaku selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.
Mohd Azizi gugur keahlian Bersatu dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Mohd Syahbuddin Hashim #kerajaan pusat #berkhidmat
;