Nenek umur 75 tahun antara ditahan bersama dadah

Sinar Harian
Mei 10, 2024 16:15 MYT
Kumar (kanan) menunjukkan antara peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses dadah yang dirampas
JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM4.3 juta hasil dua serbuan yang dilakukan di sekitar Pontian, Sabtu minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam serbuan sekitar jam 1.30 pagi sehingga 12 tengahari itu tiga lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 59 tahun serta wanita warga emas berusia 75 tahun turut ditahan bersama sejumlah dadah.
Menurutnya, serbuan melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pontian.
Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek tersebut positif dadah jenis methamphetamine selain turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah.
"Polis berjaya merampas 18 peket mengandungi 25,211.85 gram serbuk ekstasi, 275.00 gram atau 970 biji pil erimin 5, 532.59 gram atau 1,700 biji pil ekstasi, 232.60 gram atau satu peket ketamin dan 362.02 gram atau 15 peket ganja.
"Dadah dirampas difahamkan boleh digunakan seramai 88,234 penagih.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dan membungkus serbuk ekstasi serta menyita enam kereta dengan jumlah sitaan RM495,000, wang tunai berjumlah RM21,000 termasuk mata wang asing iaitu SGD13,000 dengan nilai sitaan RM45,657," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, pada Jumaat.
Secara keseluruhannya, jumlah sitaan merekodkan RM561,657 dan jumlah keseluruhan bagi nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi kali ini berjumlah RM4,887,636.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 4 Mei hingga 10 Mei 2024 untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan.
Sementara itu, Kumar menambah, pihak JSJN Johor membuat 9,184 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah selain turut merampas 2.03 tan dadah mulai 1 Januari hingga Rabu lalu (5 Mei).
"Secara keseluruhannya, dadah yang dirampas bernilai RM17.8 juta manakala harta sindiket disita bernilai RM6.07 juta," katanya. - Sinar Harian
#kesalahan dadah #warga emas #nenek #serbuan dadah
;