Nenek selamatkan cucu dan menantu dari kebakaran
Bernama
Jun 15, 2013 18:33 MYT
Jun 15, 2013 18:33 MYT
Seorang nenek cedera semasa cuba menyelamatkan menantu dan dua cucunya yang terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Kampung Carok Bunting, mukim Siong dekat sini petang semalam.
Romiah Sulaiman, 65, cedera di lengan kiri akibat terkena api ketika rumah dua tingkat separuh papan yang didiaminya hangus terbakar pukul 6.15 petang.
Ketika kejadian Romiah dan menantu serta dua cucunya sahaja berada di rumah kerana suaminya Zainol Yahya, 75, tiada di rumah.
Setelah menyedari rumahnya di bahagian atas terbakar, Romiah yang berada di luar rumah meluru ke dalam rumah untuk mencari menantunya, Nor Azlina Shamsudin, 30, serta dua cucunya, Fathin Fadzli, 4, dan Siti Zulaikha, 2, yang tidak menyedari kebakaran itu berlaku.
"Ketika saya masuk ke dalam rumah, sebatang kayu yang terbakar jatuh ke atas lengan saya," katanya.
Menantu dan cucunya itu sempat menyelamatkan diri dengan keluar menerusi pintu dapur setelah terdengar jeritan Romiah bahawa rumah mereka terbakar.
Tiada sebarang harta yang sempat diselamatkan dalam kejadian itu.
Lapan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Baling yang dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran gagal membawa jentera mereka masuk ke kawasan kampung itu akibat jalan sempit.
Turut menziarahi mangsa kebakaran itu adalah Anggota Dewan Undangan Negeri Bayu Datuk Azmi Che Husin.
"Saya memandang berat masalah jalan sempit yang menghalang kenderaan bomba memasuki kampung," katanya.
Azmi berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Bomba supaya dapat menggunakan jentera yang lebih kecil dan boleh masuk ke kawasan kampung bagi membantu mangsa kebakaran jika berlaku kebakaran.