Nenek rentung dalam kebakaran di Alor Setar
Adie Sufian Zulkefli
Februari 18, 2016 08:49 MYT
Februari 18, 2016 08:49 MYT
Seorang nenek maut manakala anak serta cucunya terselamat dalam satu kebakaran di Taman Nuri, Alor Setar, Kedah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Che Fadziah Othman, 59, dipercayai sedang tidur bersama seorang anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) serta cucunya berusia enam tahun.
Menurut Pegawai Penguatkuasa Bomba Jalan Tun Razak, Mohd Helmi Badrul Hussin, api dipercayai bermula di belakang rumah berkenaan, sebelum ia marak dengan cepat ke bahagian lain rumah.
Anak mangsa yang menyedari kebakaran berkenaan bertindak membawa cucu mangsa keluar daripada rumah.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri.
"Pada masa anggota saya menjumpai mangsa didapati telah rentung di tingkat atas di bahagian ruang tamu rumah berkenaan dipercayai sedang cuba menuju ke tangga bagi menyelamatkan diri," katanya di sini, hari ini.
Operasi pemadaman membabitkan dua jentera bomba dan sebuah lori tangki air dari Jalan Tun Razak dan dibantu tiga jentera bomba sukarela bersama 20 anggota.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 20 minit.
Mayat mangsa dihantar ke Hospittal Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
Punca kejadian dan nilai kerugian masih disiasat.