Nenek, remaja perempuan bawah umur antara dicekup kerana berkhalwat

Ridzal Abdullah
Januari 1, 2020 11:18 MYT
Anggota penguatkuasa melakukan operasi mencegah khalwat di Tawau, Sabah pada malam sambutan Tahun Baharu 2020.
Seorang wanita berstatus nenek dan remaja perempuan bawah umur merupakan antara yang dicekup kerana berkhalwat pada malam Tahun Baharu 2020 di sini.
Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Tawau, Kahar Sundu berkata, kesemua mereka ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan di sebuah hotel bajet dalam satu operasi khas.
Operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Daerah Tawau, penguatkuasa Majlis Perbandaran Tawau dan Polis Diraja Malaysia itu memilih kawasan taman dan hotel bajet sebagai lokasi serbuan.
"Saya nasihatkan masyarakat khususnya di Tawau sentiasa peka tentang undang-undang, bukan setakat undang-undang sedia ada undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di negeri ini perlu juga kita ketahui.
"(Mereka yang berkhalwat) akan diambil tindakan dan kita akan bawa berkara tersebut untuk didakwa di mahkamah dan peringkat yang sewajarnya," kata Kahar.
Dalam serbuan yang dilakukan itu juga, daripada enam pasangan yang diperiksa, tiga daripada pasangan itu tidak memiliki sijil nikah yang sah.
Bahkan, ada juga yang cuba memberi pelbagai helah untuk cuba melepaskan diri.
Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Zarina berkata, pertemuan dengan pasangannya dalam bilik di hotel bajet itu adalah untuk membincang rancangan perkahwinan mereka.
Zarina yang mengakui sudah bercucu berkata, dia dan pasangan merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang berusia 55 tahun pada Rabu (1 Januari 2020).
"Kami sudah lama bertunang, dia (pasangan) mengatur rancangan untuk kami kahwin di Semporna esok (Rabu)," kata Zarina.
Seorang gadis bawah umur, Aisah pula disorokkan oleh pasangannya di bawah katil dengan harapan tidak dikesan anggota penguatkuasa.
Bagaimanapun, taktik berkenaan berjaya dikesan pihak berkuasa.
#bawah umur #khalwat #nenek #remaja
;