Nenek melecur cuba selamatkan barang dalam rumah terbakar
Abd Razak Mohd Ali
Jun 1, 2019 21:08 MYT
Jun 1, 2019 21:08 MYT
Seorang nenek melecur 20 peratus apabila cuba menyelamatkan barangan peribadi di dalam rumah yang sedang terbakar di Kampung Baru Bidor, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharudin Wan Ismail berkata, Lim Sai Guik, 58 tahun, kini dirawat di Hospital Pantai, Ipoh.
Menurutnya, kejadian bermula jam 10.15 pagi apabila rumah yang didiami mangsa bersama suami dan dua cucunya mula terbakar.
“Apabila api marak dengan cepat mangsa telah melarikan diri keluar dari rumah dan orang ramai cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya.
“Dalam keadaan api merebak dengan cepat, mangsa cuba masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan barang-barang peribadi dan telah mendapat kecederaan di bahagian belakang badan dan bahu sebelah kanan melecur kena api,” katanya di sini.
Kebakaran itu turut melibatkan dua buah rumah lagi yang terletak bersebelahan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan yang melawat mangsa kebakaran menghulurkan bantuan segera RM4,000.
#barangan peribadi
#Bidor
#bomba
#JBPM
#kebakaran
#melecur
#selamat
#Tapah
#Wan Azharudin Wan Ismail