Nenek lemas, menantu dan cucu masih hilang
Rohana Wahed
Mei 25, 2018 22:36 MYT
Mei 25, 2018 22:36 MYT
Keterujaan seorang nenek untuk meraikan Gawai Dayak bersama anak menantu dan cucunya yang pulang dari perantauan berakhir tragedi apabila bot mereka naiki dipukul ombak sebelum karam di Sungai Nanga Entabai di Julau, Sarawak hari ini.
Mangsa Lenny Ingang, 46 dan suami menjemput anak lelakinya bersama menantu serta cucunya dari Kuala Lumpur untuk pulang bercuti ke Rumah Panjang Gani.
Bagaimanapun, suami dan anak mangsa selamat selepas berjaya berenang ke tebing.
Sementara, mayat Lenny dijumpai di tebing sungai berdekatan Rumah Panjang Gani kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Manakala menantunya Ebilini Linty Kaya, 23 tahun dan cucu Kelvin Sama Markus, 6 tahun masih belum ditemui.
Ini merupakan tragedi kedua di Sungai Nanga Entabai apabila dua hari lalu, seorang warga emas berusia Anjan Nyua, 66 juga hilang ketika mengayuh perahu di sungai sama, sekembalinya daripada majlis pra-Gawai di sekolah berhampiran dan belum ditemui sehingga kini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Norhisham Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 9.33 pagi tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diperluas sehingga ke Sungai Kanowit di Nanga Ensurin.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira 50 meter dari jeti rumah panjang mangsa.
"Mangsa bersama suami menjemput anak, menantu dan cucunya balik Gawai.
"Ini merupakan tragedi balik Gawai kedua yang berlaku di kawasan ini dalam tempoh tiga hari," katanya.