Nenek kesunyian rugi RM220,500 diperdaya 'doktor Syria'
Adie Sufian Zulkefli
Jun 14, 2022 12:00 MYT
Jun 14, 2022 12:00 MYT
ALOR SETAR: Seorang nenek kerugian RM220,500 apabila wang simpanannya lesap selepas menjalinkan hubungan cinta dengan seorang 'doktor' dari Syria di laman sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang juga pesara berusia 60 tahun itu berkenalan dengan suspek melalui laman Facebook sejak November tahun lalu.
Menurut Elias, mangsa yang kesunyian selepas kehilangan suami pada 2008 mula berhubung dengan suspek dikenali sebagai Amran Mohammad Ali yang kononnya bekerja sebagai seorang doktor yang menetap di Syria.
Tambah Elias, suspek kemudian meminta bantuan daripada mangsa atas alasan berdepan masalah kewangan.
Mangsa yang bersimpati dengan 'kekasih hatinya' itu telah memasukkan wang secara berperingkat melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam tujuh akaun bank berbeza yang diberikan suspek.
Menurut Elias, sejak Disember tahun lalu hingga terbaharu bulan Jun tahun ini, mangsa telah membuat sebanyak 51 transaksi pindahan wang berjumlah RM220,500.
Katanya, mangsa mula menyedari ditipu selepas diminta memasukkan wang tambahan pada 12 Jun.
Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang semalam.
Susulan laporan dibuat mangsa, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Elias dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Love Scam seperti ini.