Nenek dikhuatiri hilang ketika mencari lembu

Bernama
Januari 31, 2022 06:12 MYT
Nanda (gambar) mengesahkan menerima laporan berkenaan kehilangan A Sivapaki. - Gambar fail BERNAMA
SEREMBAN: Seorang wanita warga emas dikhuatiri hilang ketika mencari lembu ternakannya di kawasan ladang sawit berhampiran rumahnya di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau di sini, pada Ahad.
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Lockmanulhakim Basiron berkata pihaknya menerima panggilan daripada cucu lelaki mangsa pada pukul 1.15 tengah hari semalam mengenai kehilangan neneknya yang dikenali sebagai A Sivapaki, 74.
"Wanita itu memasuki kawasan ladang berkenaan pada 11 pagi semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga kini, dimaklumkan memang menjadi kebiasaannya menguruskan lembu-lembu itu.
"Susulan itu, 10 anggota bomba termasuk pegawai digerakkan bagi operasi mencari serta menyelamat kira-kira empat kilometer dari ladang sawit kampung berkenaan selain turut dibantu ahli keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.
Lockmanulhakim berkata operasi itu turut meliputi kawasan seluas kira-kira 12 hektar termasuk di ladang kelapa sawit, pokok getah, belukar, lombong dan sungai berhampiran.
"Operasi mencari serta menyelamat ketika ini ditangguhkan dan akan diteruskan pagi esok," katanya sambil menambah pakaian terakhir dipakai mangsa ketika hilang adalah berseluar coklat gelap, memakai but kebun dan bertudung.
Difahamkan, ia adalah kejadian kali kedua warga emas tersebut dilaporkan hilang dengan keadaannya dipercayai sudah mula nyanyuk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan berkenaan kehilangan warga emas itu.
-- BERNAMA
#cari lembu #Rantau #ladang sawit #warga emas hilang
;