Nenek, cucu sesat di Bukit Buluh Telur ditemukan selamat

Afiezy Azaman
Jun 17, 2024 11:15 MYT
Seorang nenek bersama cucu perempuan yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 9.30 pagi tadi.
KUALA LUMPUR: Seorang nenek bersama cucu perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, ditemukan dalam keadaan selamat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, warga emas berusia 62 tahun itu ditemukan bersama cucunya pada jam 9.30 pagi, pada Isnin.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan jam 8 pagi tadi dan anggota telah sampai di 'çheckpoint' pertama.
"Selepas itu, bomba menerima maklumat daripada waris mangsa menyatakan bahawa mangsa telah berjaya dikesan melalui panggilan telefon.
"Anggota mengambil masa kurang satu jam perjalanan untuk sampai ke kepada mangsa dari lokasi 'checkpoint' pertama dan menemui mereka dalam keadaan selamat, pada 9.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Pada Ahad, JBPM Selangor melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa selepas menerima laporan berhubung kehilangan warga emas dan cucunya itu.
#nenek dan cucu hilang #Bukit Buluh Telur #bomba Selangor #operasi sar
;