Nenek 'berputih mata' terjerat cinta doktor palsu

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 2, 2019 16:45 MYT
Noorzainy berkata sepanjang perkenalan itu, lelaki terbabit memberitahu mangsa bahawa dia ada menghantar bungkusan berisi barang berharga dan sejumlah wang tunai untuk dilabur di Malaysia. - Gambar fail/ASTRO AWANI
Hanya kerana teruja untuk mendapatkan hadiah dari lelaki yang kononnya seorang doktor, seorang wanita warga emas kerugian RM8,350 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam.
Mangsa berusia 70 tahun berkenalan dengan lelaki mendakwa dirinya seorang doktor yang berkhidmat di Amerika Syarikat melalui satu laman sosial pada Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sepanjang perkenalan itu, lelaki terbabit memberitahu mangsa bahawa dia ada menghantar bungkusan berisi barang berharga dan sejumlah wang tunai untuk dilabur di Malaysia.
Mangsa teruja selepas dimaklumkan perkara berkenaan dan tidak mengesyaki perbuatan jahat lelaki berkenaan memandangkan lelaki itu mendakwa dirinya seorang doktor.
"Tidak lama kemudian mangsa menerima panggilan telefon dari sebuah syarikat penghantaran dan memberitahu barangan terbabit sudah sampai namun mangsa perlu membuat bayaran untuk membolehkan mereka menghantar bungkusan itu kepada mangsa."
Jelasnya, tanpa berfikir panjang mangsa memasukkan wang sepertimana yang diminta ke dalam akaun yang diberikan.
“Bagaimanapun, mangsa terus diminta untuk memasukkan lagi wang hingga dia melakukan pemindahan deposit sebanyak lapan kali ke dalam tiga akaun bank berlainan selama tiga minggu berjumlah RM8,350," katanya.
Mangsa yang curiga kemudian memaklumkan kepada rakannya dan sedar bahawa dirinya sudah ditipu.
Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis semalam untuk membolehkan siasatan dijalankan.
Orang ramai dinasihati supaya tidak sesekali mudah jatuh cinta dan percaya dengan kata-kata orang yang tidak dikenali di laman sosial sebaliknya berhubung dengan polis jika terdapat sebarang kemusykilan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata dua jururawat di daerah itu masing-masing mengalami kerugian berjumlah RM6,770 dan RM22,840 ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud.
“Dalam kejadian pada Selasa, kedua-dua jururawat itu mahu meminjam wang dari sebuah syarikat pinjaman di laman sosial sebelum mereka berdua dihubungi ajen syarikat itu.
“Selepas diterangkan segala prosedur pinjaman mereka berdua kemudian diminta membuat bayaran bagi tujuan pemprosesan seperti upah peguam, insurans dan duti setem.
Akibat percaya dengan kata-kata ejen terbabit seorang jururawat memasukkan wang berjumlah RM6,770 manakala seorang lagi berjumlah RM22,840,” katanya.
Noorzainy berkata, mereka berdua menyedari bahawa sudah ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada suami masing-masing sebelum datang membuat laporan polis.
Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Sekysen 420 Kanun Keseksaan.
#love scam #nenek #Polis Daerah Seberang Perai Utara #warga emas
;