Nenek 63 tahun selamatkan empat cucunya daripada kejadian tanah runtuh

Bernama
Januari 13, 2021 13:41 MYT
Kejadian tanah susur di belakang rumah Nona Budis di Kampung Garung, kilometer 40 Jalan Puncak Borneo berlaku pada 8.30 malam ketika beliau sedang menonton televisyen di ruang tamu. - Gambar BERNAMA
PADAWAN: Seorang nenek berusia 63 tahun bersama anak perempuannya bertindak pantas membawa keluar empat cucunya apabila sebahagian rumah mereka di Kampung Garung, kilometer 40 Jalan Puncak Borneo ditimbus tanah runtuh malam tadi.
Nona Budis berkata, kejadian tanah susur di belakang rumahnya itu berlaku pada 8.30 malam ketika beliau sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala cucu dan anak perempuannya berada di dapur rumah berkenaan.
"Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat, diikuti runtuhan dinding rumah kami dan tanah memasuki ke dalam ruang tamu rumah.
"Mujurlah ketika itu anak dan cucu-cucu saya tidak berada dekat dengan televisyen seperti kebiasaannya," katanya ketika ditemui di rumahnya itu hari ini.
Hadir untuk melawat dan meninjau tempat kejadian ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi.
Menurut Nona, ini adalah kali kedua kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya itu berlaku, selepas kejadian baru-baru ini.
"Ketika ini, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah anak saya," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan dua rumah mengalami kerosakan akibat tanah runtuh di Kampung Annah Sadir, Padawan kira-kira 3.30 pagi semalam.
Menurut ketua kampungnya, Sagu Bakong kejadian tanah runtuh itu berlaku akibat hujan yang beterusan sejak Isnin lepas. - BERNAMA
#nenek berusia 63 tahun #tanah runtuh #selamatkan cucu #Kampung Garung #Jalan Puncak Borneo #Padawan #Sabah #Nona Budis
;